Friday 14 April 2017

Awas! Kamera ini tersembunyi pada penyangkut baju

Penyangkut baju mengandungi kamera tersembunyi ditemui di tandas perempuan sebuah kolej di Seremban. Kelihatan memori kad dalam alatan berkenaan.

SEREMBAN - Satu unit penyangkut baju yang mengandungi kamera tersembunyi dijumpai dalam tandas wanita sebuah kolej di daerah ini.

Peralatan itu dikesan seorang pelajar perempuan kolej terbabit yang ketika itu sedang menggunakan tandas.

Menurut sumber, pelajar berkenaan terlihat penyangkut baju itu berada dalam keadaan mencurigakan menyebabkan dia mengambilnya lalu memeriksanya dengan lebih dekat.

"Sebaik saja membuka penyangkut baju itu, pelajar itu mendapati terdapat memori kad pada penyangkut baju berkenaan, sebelum mendapati bulatan kecil di hadapan penyangkut baju itu merupakan sejenis kamera.

“Pelajar itu kemudian membuat aduan dan menyerahkan peralatan itu kepada pihak kolej," katanya.

Menurutnya, penyangkut baju itu kemudian diserahkan kepada pihak teknologi maklumat (IT) kolej terbabit.

"Setelah diperiksa dalam memori kad itu, jelas mengandungi dua jenis video di dalam kamera berkenaan. Bagaimanapun, video itu bukanlah video yang tidak senonoh,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, polis sudah merakam percakapan pengadu dan pelajar yang menjumpai alatan tersebut untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk mengenal pasti mereka yang terbabit dalam memasang alat penyangkut baju berkenaan.

- Sumber: Sinar Harian | 14 April 2017

No comments:

Post a Comment