Tuesday 21 March 2017

Padah ganggu isteri orang

Suspek yang terbaring selepas dipukul orang ramai.

KOTA BHARU - Padah mengganggu isteri orang dengan menunjukkan isyarat lucah, seorang lelaki warga Pakistan dibelasah orang awam sebelum ditahan polis dalam di Simpang Tiga Kedai Mulong, di sini, pagi kelmarin.

Mangsa seorang eksekutif pemasaran berusia 32 tahun sebelum itu berhenti di sebuah Kedai Runcit 24 untuk membeli barangan.

Ketika sedang membuat bayaran, suspek yang bekerja sebagai penjaga kaunter menanyakan soalan lucah kepadanya dan menunjukkan isyarat lucah dengan jari kelingking serta membuat perbandingan dengan suami mangsa.

Mangsa kemudian terus menaiki kereta dan memberitahu adiknya yang berusia 20-an sebelum adiknya itu turun dan memberi amaran kepada suspek supaya tidak mengganggu kakaknya, bagaimanapun suspek menafikannya serta berlaku pergelutan.

Suspek kemudian dikatakan mengeluarkan kayu dan memukul adik wanita itu.

Selepas kejadian, adik mangsa sekali lagi datang ke kedai sama dan memberitahu suspek supaya tidak mengulangi perbuatan melakukan gangguan seksual terhadap mangsa serta orang kampung.

Kedatangan adik mangsa kali kedua itu menyebabkan suspek berang dan terus mengambil pisau dari bawa meja, namun sempat ditahan adik mangsa.

Orang awam yang melihat kejadian berlaku tersebut membantu adik mangsa dan membelasah suspek sebelum menangkapnya serta menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan suspek turut dihantar ke hospital untuk rawatan kerana cedera dipukul.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 kerana menyebabkan cedera dan Seksyen 509 kerana menunjukkan isyarat yang mengaibkan kehormatan orang lain.

“Seksyen 324 membawa hukuman penjara tiga tahun, denda dan sebatan, mana-mana dua daripada hukuman tersebut, manakala Seksyen 509, pesalah boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

- Sumber: SH Online | 21 Mac 2017

No comments:

Post a Comment