Saturday 11 February 2017

Kenapa Lindsay takut kembali ke New York

Lohan ketika diwawancara oleh Daily.com. - Foto DailyMail

SELEBRITI Lindsay Lohan mengakui takut untuk kembali ke New York, Amerika Syarikat (AS) selepas larangan yang dibuat presiden Donald Trump untuk umat Islam ke negara itu.

Kerisauan itu dizahirkan ketika sesi soal jawab secara eksklusif bersama Penyunting Femail, Charlie Lankston di pejabat Dailymail.com dan disiarkan secara langsung di Facebook live.

Lohan dalam temu bual itu mengakui ketakutan itu juga berpunca daripada kehidupannya yang baru di mana lebih mendalami agama Islam. Dalam masa sama, Lohan melahirkan hasrat untuk bertemu dengan Trump bagi berbincang perintah larangan dan juga isu pelarian.

“Saya baru pulang dari Turki. Di sana saya banyak belajar mengenai pelarian. Kini masa saya banyak ditumpukan kepada kisah-kisah pelarian ini terutamanya dari negara-negara bergolak.

“Seharusnya beliau (Trump) mengubah pendiriannya mengenai pelarian ini. Saya percaya semua rakyat AS akan teguh di belakang pemimpin ini,” katanya.

Lohan juga berharap kerajaan AS akan membantu semua pelarian ini.

“Kalau kerajaan Turki boleh buat, saya yakin AS juga mampu malah lebih lagi membantu sesama manusia,” katanya.

Sementara itu, Lohan turut mengakui sedang mempelajari al-Quran dan Islam namun menyangkal dakwaan sudah memeluk agama Islam.

“Apa yang boleh saya kongsikan, saya rasa tenang dengan ilmu baru ini. Saya belajar sesuatu yang baru yang begitu mendamaikan.

“Agama ini bukan kita boleh tukar dalam masa sehari. Kita perlu belajar dan mendalaminya.

“Segala-galanya mungkin. Ini merupakan perjalanan peribadi saya,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian | 11 Februari 2017

No comments:

Post a Comment