Saturday 19 November 2016

Gempar! Malaysia antara negara tertinggi kemalangan di dunia

Abdul Aziz Kaprawi

BATU PAHAT - Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi di dunia tahun lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, ini berikutan terdapat 2.55 kematian dicatatkan bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar di negara ini sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata angka itu dianggap tinggi berbanding negara maju seperti United Kingdom, Sweden dan Australia yang hanya merekodkan kurang daripada dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar di negara berkenaan.

"Justeru, kerajaan akan menjadikan indeks kematian di negara maju ini sebagai penanda aras kepada usaha Malaysia mengurangkan kematian di jalan raya.

"Tidak dinafikan peningkatan kematian turut disumbangkan oleh pertambahan pengguna jalan raya, tetapi apa yang pasti hampir keseluruhan punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu itu sendiri," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kluster Keselamatan Jalan Raya di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata bagi menangani peningkatan kadar kematian itu, kementeriannya akan menggunakan pendekatan berbeza bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keselamatan jalan raya.

"Kementerian akan memilih kawasan-kawasan tempatan untuk menjalankan beberapa perkara termasuk memahami keadaan keselamatan jalan raya semasa, memahami ciri-ciri tempatan yang mempengaruhi keselamatan dan mencadangkan intervensi dan aktiviti bagi mencapai hasil," katanya.

Katanya pendekatan itu telah diterjemah ke dalam bentuk penyediaan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Peringkat Parlimen Sri Gading dan diharap dapat menjadi perintis dalam mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Sementara itu, dalam sidang media kemudiannya, Abdul Aziz memberitahu kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan had laju kenderaan di lebuh raya yang ditetapkan sehingga 110 kilometer sejam pada masa ini.

Ini kerana ia hanya akan menaikkan kadar kemalangan di Malaysia sebanyak dua kali ganda berbanding kadar sekarang. 

- Sumber: Bernama | 19 November 2016

No comments:

Post a Comment