Thursday, 6 August 2015

Bagaimana Malaysia sahkan flaperon yang ditemui milik MH370?

Pengesahan pada awal pagi semalam, dilihat sebagai jejak pertama ke arah mencari jawapan dalam misi pencarian pesawat berkenaan yang hilang sejak 8 Mac 2014.

KUALA LUMPUR: Serpihan sayap yang dikenali sebagai flaperon di Pulau Reunion, Perancis disahkan milik pesawat MH370 adalah kerana ciri-cirinya yang sepadan dengan rekod milik syarikat Malaysia Airlines (MAS).

“Konklusi penemuan itu tercapai apabila pasukan teknikal mendapati rekod-rekod teknikal dan penyelenggaraan MAS sama dengan flaperon yang ditemui,” kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu sidang media, Khamis.

Bila ditanya mengapa negara mengesahkan ia milik MH370 sedangkan pihak berkuasa Perancis pada sidang media pada hari yang sama berkata siasatan ke atas flaperon berkenaan masih dijalankan, Liow berkata pengesahan itu turut dibuat berdasarkan lokasi penemuan flaperon yang konsisten dengan corak hanyutan yang telah ditentukan oleh pasukan pakar yang terpilih.

Pasukan itu terdiri daripada pakar MAS, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) serta pasukan penyiasat antarabangsa.

“Tanpa bukti fizikal, tentu sukar untuk kita tentukan. Sekarang kita sudah menemui flaperon ini yang diharapkan dapat mendekatkan kita kepada lebih banyak penemuan seterusnya merungkai misteri kehilangan MH370,” kata Liow.

Pasukan pencari temui tingkap dan kusyen tempat duduk pesawat

Sementara itu, Tiong Lai melaporkan pasukan mencari yang berada di Pulau Reunion turut menemui beberapa serpihan yang dipercayai daripada sebuah pesawat.

Tambahnya antara yang ditemui termasuk bahagian tingkap dan kusyen tempat duduk.

Bahagian tersebut telah dihantar kepada pihak berkuasa Perancis untuk diteliti dan disahkan status.

Sementara itu, Liow mengesahkan mesyuarat tiga pihak antara Malaysia, China dan Australia akan diadakan bagi menentukan fasa pencarian setertusnya.

Setakat ini, tarikh mesyuarat berkenaan belum dimuktamadkan.

Dua sidang media pada awal pagi Khamis

Pada awal pagi Khamis, Perdana Menteri mengesahkan secara konklusif bahawa penemuan flaperon di Pulau Reunion adalah sisa pesawat milik MAS MH370.

Sejurus selepas pengumuman tersebut, pendakwaraya , Serge Mackowiak dalam satu sidang media di Perancis, tidak mengisytiharkan penemuan itu sah sebagai serpihan MH370 sebaliknya memaklumkan bahawa penemuan itu boleh dikatakan sebagai satu ‘anggapan yang kukuh’ bahawa ia milik MH370.

Mackowiak juga berkata, keputusan itu adalah berdasarkan data teknikal yang dibekalkan oleh kedua-dua pengeluar dan syarikat penerbangan namun ia tidak memberi sebarang petunjuk bahawa pakar-pakar telah menjumpai nombor siri atau tanda unik yang menghubungkan kepada misteri kehilangan pesawat.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment