Thursday 6 August 2015

Pengesahan penyelenggaraan sama dengan rekod MAS‎

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada sidang media di kementeriannya, Khamis, berhubung penemuan serpihan sayap kapal terbang berukuran dua meter di Pulau Reunion minggu lalu disahkan milik pesawat MH370.

PUTRAJAYA - Malaysia yakin flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion adalah milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 setelah para pakarnya mengesahkan bahawa satu tanda pengesahan penyenggaraan yang terdapat pada bahagian pesawat itu adalh sama dengan yang terdapat dalam rekod MAS.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pasukan pakar Malaysia‎ daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), MAS dan Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa Malaysia (ICAO) di Toulouse mengesahkan bahawa bahagian pesawat itu adalah milik MH370.

"Kesimpulan ini dibuat kerana butiran teknikal mengenai flaperon itu sama dengan yang terdapat dalam rekod MAS.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa keputusan Malaysia ini datangnya daripada pasukan pakar Malaysia. Satu perkara yang amat jelas ialah pasukan kami memiliki rekodnya sendiri (rekod penyenggaraan MAS).

"Kami mengesahkan bahawa bahagian itu adalah milik MAS berdasarkan rekod penyenggaraan dan pada waktu yang sama, tanda pengesahan yang terdapat pada flaperon itu telah dikenal pasti oleh pakar penyenggaraan MAS. Lebih penting, warna serta butiran lain mengesahkan lagi tentang perkara ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Awal hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion pada 29 Julai adalah kepunyaan MH370, yang hilang kira-kira 17 bulan lepas.

Pesawat itu hilang daripada pengesanan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Pada 29 Julai, sebahagian daripada sayap sebuah pesawat dikenali sebagai flaperon, dijumpai di Pulau Reunion dan dipercayai berasal daripada sebuah pesawat Boeing 777.

Flaperon itu diterbangkan ke Paris sebelum dibawa ke Toulouse pada 1 Ogos di bawah rangka kerja penyiasatan kehakiman Perancis, yang diketuai hakim penyiasatan, M. Alain Gaudino, untuk dibuat pemeriksaan lanjut dan disahkan asal usulnya.

Tiong Lai berkata Malaysia menghormati rancangan pihak berkuasa Perancis untuk meneruskan proses pengesahan alat itu.

Menurut beliau, oleh kerana Pulau Reunion terletak di wilayah Perancis, maka mereka berhak untuk meneruskan siasatan itu.

"Saya menghormati pandangan mereka kerana mereka ingin mendapatkan pengesahan lanjut. Mereka boleh meneruskannya. Bagi kami, kami yakin ia berasal daripada MH370," katanya.

Tiong Lai berkata lokasi flaperon itu ditemui menepati hasil analisis hanyutan yang dilakukan pakar.

Katanya, walaupun serpihan lain pesawat juga dijumpai di pulau itu, namun ia perlu dibuat pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan ia berasal daripada MH370.

Tiong Lai berkata mesyuarat tiga pihak MH370 akan diadakan bagi membincangkan tindakan selanjutnya berhubung operasi mencari pesawat malang itu.

"Kita akan membincangkan perancangan seterusnya sama ada mencari di kawasan yang sedia ada atau kawasan baharu berdasarkan pandangan pasukan pakar yang terlibat," katanya.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment