Saturday 25 July 2015

Filem Kapsul tampilkan Tun Mahathir temui penonton September ini

Filem Kapsul terbitan Two Tones Sdn Bhd

KUALA LUMPUR: Filem Kapsul terbitan Two Tones Sdn Bhd melakar sejarah apabila berjaya memujuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk terbabit sama menjayakan filem itu. 

Penampilan Tun M melakonkan lima babak berdialog dengan teraju utama filem itu, Faizal Hussein memberi impak kepada keseluruhan filem itu yang diarahkan Allahyarham Martis Mohd Ali.

Penerbit filem Kapsul, Amru Najmi Osman meluahkan kegusaran apabila ada pihak yang cuba mencetuskan anasir negatif dengan mengaitkan filem terbitannya dengan sentimen politik.

"Filem ini tiada kena mengena dengan sentimen politik sebaliknya hanya fokus kepada perjuangan anak bangsa Melayu. Kemunculan Tun M melengkapkan jalan cerita filem ini berdasarkan kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam beliau di Monumen Putrajaya ketika pentadbirannya. 

"Semua pelakon yang terbabit begitu teruja kerana Tun M bersetuju untuk turut berlakon dalam filem ini. Impak yang diberikan oleh Tun M tidak dinafikan begitu besar sekali buat filem Kapsul ini.

"Namun ada pihak yang cuba mengaitkan filem ini dengan sentimen politik hanya dengan melihat pada poster filem ini semata-mata. Filem ini mampu membuatkan penonton sebak dan menangis melihatkan semangat perjuangan perwira kita dulu.

Filem ini yang menjalani penggambaran awal tahun lalu adalah hasil intepretasi Martis berkenaan bentuk fizikal kapsul dan isi kandungan yang tercatat dalam kapsul itu mengenai amanat Tun Dr Mahathir menjelang tahun 2020. 

Filem Kapsul turut dikukuhkan dengan penampilan khas Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Adlin Aman Ramli dan Irfan Khairi itu bakal menemui penonton seluruh negara mulai 17 September ini. 

Martis bagaimanapun tidak sempat menyaksikan tayang sulung filem ini di pawagam kerana meninggal dunia pada 29 Mei 2014 kerana kanser darah.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment