Saturday, 25 July 2015

Almy Nadia sedih adiknya dipukul pelajar senior

Status instragram Almy, pagi ini. - Foto ihsan instragram Almy Nadia

KUALA LUMPUR: Pelakon, Almy Nadia melahirkan rasa tidak puas hati di laman sosial apabila adiknya yang sedang menuntut di sebuah sekolah berasrama di Pulau Pinang disyaki dipukul oleh empat orang pelajar lelaki tahun akhir, baru-baru ini.

Tindakan beliau memuat naik status tidak berpuas hati dengan tindakan empat orang pelajar itu berjaya mendapat perhatian Kementerian Pendidikan dan mereka sudah membuat tinjauan ke sekolah berasrama terbabit.

"Saya begitu sedih apabila dimaklumkan adik saya dipukul oleh senior di sekolahnya. Apabila dimaklumkan, adik saya itu digantung sekolah kerana keluar pada waktu malam tanpa kebenaran, dia telah dimarahi oleh saya terlebih dahulu.

"Namun, dia tidak pula mengadu dipukul oleh empat orang pelajar kerana keluar tanpa kebenaran. Cerita dia dipukul itu, disampaikan oleh kawan ibu saya.

"Adik saya telah dibawa pulang namun masih berada dalam keadaan trauma. Dia tidur sepanjang hari dan enggan bercakap dengan sesiapa kerana ketakutan. 

"Ibu saya telah membawa adik saya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan membuat laporan polis," kata Almy ketika dihubungi BH Online.

Menurut Almy, beliau sama sekali tidak menyangka kes buli yang semakin menular ini akan terjadi kepada adiknya sendiri. Baginya, tindakan undang-undang perlu diambil bagi membanteras kes ini daripada terus berleluasa.

Isteri kepada pelakon Fizz Fairuz itu menambah, Kementerian Pendidikan, polis dan sekolah serta ibu bapa pelajar yang terbabit bakal membuat perbincangan pada Isnin ini untuk tindakan selanjutnya.

"Selalunya kita melihat cerita sebegini di dada akhbar tetapi tidak sangka pula terjadi pada ahli keluarga kita sendiri. Saya yang meminta agar adik lelaki saya itu dimasukkan ke sekolah yang baik agar dia mendapat pendidikan terbaik untuk masa hadapan.

"Pada mulanya, memang saya risau juga kerana ada pelajar sekolah yang memberi komen negatif terhadap status yang saya muat naik di Instagram. Namun negara kita ada undang-undang, mereka tidak boleh bertindak sesuka hati saja," tegas Almy lagi.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment