Wednesday 15 April 2015

Harga kerang naik RM3 jadi RM7.50 setengah piring

Alias Ahmad memberikan sidang media mengenai Cukai Barang Perkhidmatan (GST) di pejabat KPDNKK hari ini.

PUTRAJAYA - Sebuah restoran di Subang Jaya, Selangor bakal berhadapan tindakan mahkamah kerana menaikkan harga kerang daripada RM3 sepiring kepada RM7.50 setengah piring dengan menggunakan alasan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). 

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, kes itu adalah satu daripada 18 kes yang sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya minggu depan.

Menurutnya sembilan kes dikenal pasti di Melaka, Pulau Pinang (tiga), Kuala Lumpur (tiga), Selangor (dua) dan Putrajaya (satu).

"Ketiga-tiga kes di Kuala Lumpur melibatkan peniaga gagal menjawab notis tunjuk sebab. Di Putrajaya pula ada peniaga naikkan harga kacang bendi daripada RM12.50 kepada RM18.50 sekilogram.

"Di Melaka enam kes melibatkan peniaga menaikkan harga peti ais. Ada yang naik daripada RM2,999 kepada RM3,129 selepas GST dilaksana," katanya pada sidang media, di sini hari ini. 

Alias berkata, jika sabit kesalahan individu boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya atau denda RM500,000 ke atas syarikat.

Mengenai caj perkhidmatan, beliau berkata KPDNKK melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan memulakan siasatan di bawah Akta Persaingan untuk mengenal pasti jika terdapat elemen pakatan dalam kalangan syarikat untuk menetapkan kadar caj itu.

"Kalau ada pakatan dalam kalangan persatuan atau peniaga menetapkan misalnya 10 peratus caj perkhidmatan, mereka akan tertakluk kepada Akta Persaingan.

"Mereka sepatutnya bebas untuk tetapkan caj itu mungkin empat, lima atau enam peratus. Tetapi kita nampak semua tetapkan 10 peratus (kadar maksimum)," jelasnya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan syarikat boleh dikenakan denda maksimum 10 peratus daripada keseluruhan perolehan global mereka.

Sementara itu, Alias berkata, pertemuan dengan wakil persatuan hotel dan restoran pula akan diselesaikan pada minggu ini dan laporannya dijangka dikemukakan kepada jemaah menteri hujung bulan ini.

KPDNKK juga telah mengeluarkan sebanyak 61 notis berkaitan caj perkhidmatan daripada 698 pemeriksaan ke atas premis perniagaan dari 8 hingga 14 April. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment