Wednesday 15 April 2015

Petronas nafi potongan gaji, pemberhentian pekerja

WAN ZULKIFLEE: Tidak ada rancangan untuk menurunkan gaji pekerja, sama ada Petronas Carigali atau Kumpulan Petronas secara keseluruhannya.

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menafikan cabang penerokaan dan pengeluarannya, Petronas Carigali Sdn Bhd, akan melaksanakan proses pemotongan gaji dan pemberhentian pekerja.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata syarikat itu tidak ada rancangan untuk menurunkan gaji pekerja, sama ada Petronas Carigali atau Kumpulan Petronas secara keseluruhannya.

"Laporan itu tidak tepat. Ini merupakan proses pengoptimuman kos kami dengan para penyedia perkhidmatan.

"Kami mengkaji penyedia perkhidmatan yang menyediakan profesional kepada kami dengan gaji lebih daripada RM20,000 sebulan, malah sehingga RM100,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Petronas Dagangan Bhd di sini hari ini.

Wan Zulkiflee mengulas laporan akhbar semalam yang menyebut Petronas Carigali akan memotong gaji pekerjanya berkuat kuasa 1 Mei, 2015, berikutan kedudukan pasaran yang mencabar yang disebabkan oleh harga minyak dunia yang rendah.

Laporan itu memetik Petronas Carigali sebagai berkata bahawa ia akan terus melabur bagi mengekalkan tahap pengeluaran meskipun persekitaran harga minyak yang rendah, yang menjejaskan perbelanjaan dan daya maju projek.

Ia berkata dalam kedudukan yang mencabar untuk berbuat demikian pada struktur kos sedia ada, syarikat memutuskan untuk mengkaji semula kadar gaji pekerja sebahagi sebahagian daripada usaha mengoptimumkan kos.

Petronas Carigali meneroka, memaju dan mengeluarkan minyak dan gas di Malaysia menerusi kontrak perkongsian pengeluaran, dengan sehingga 90 peratus kos asas syarikat adalah menerusi kontraktor rakan usaha samanya.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment