Thursday, 2 April 2015

Sekeluarga dikebumi dalam satu liang lahad


MUAR - Jenazah empat sekeluarga yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 138 Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Bandar Muadzam Shah, pagi semalam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Beting, Jalan Salleh di sini awal pagi ini.

Kesemua jenazah itu disemadikan kira-kira 3 pagi yang turut dihadiri lebih 100 penduduk kampung.

Sebelum itu semua jenazah tiba di rumah ibu bapa Allahyarham Sallyza Hakim Lokma Nulhakim di Kampung Parit Beting kira-kira 1 pagi dengan dua van jenazah dari Hospital Muadzam Shah, Pahang.

Suasana pilu mula dirasai apabila semua jenazah diusung penduduk kampung untuk dibawa ke tanah perkuburan yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari rumah keluarga Allahyarham Sallyza Hakim itu.

Penduduk kampung berdiri di tepi jalan sepanjang ke tanah perkuburan untuk memberikan penghormatan terakhir ketika jenazah diusung keluarga dan penduduk kampung. 

Dalam nahas 5.30 pagi semalam, empat beranak, Rohaizan Paimon, 38; isterinya, Sallyza Hakim, 32; dan dua anak mereka, Nur Allysha Adrieanna Hakim, 6; serta Muhammad Nur Orfan Danish Hakim, 4; maut di tempat kejadian selepas Proton Waja dipandu Rohaizan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori.

Sementara itu sepupu mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, empat beranak itu tiba di sini pada 8 malam untuk menghantar anak ketiga mereka, Nur Irresya Nellydia Hakim Rohaizan, setahun, kepada ibu bapa Sallyza Hakim, sebelum pulang ke Kuantan kurang daripada lima jam kemudian.

"Saya difahamkan, mereka menghantar Irresya Nellydia Hakim untuk dijaga ibu bapa Sallyza Hakim sebagai persediaan awal sebelum sepupu perempuan saya itu melahirkan anak keempat, dua bulan lagi," katanya. 

Katanya Sallyza Hakim yang juga jururawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan kini sarat mengandung tujuh bulan manakala suaminya Rohaizan merupakan
seorang jurutera di sebuah syarikat perkapalan dan mereka menetap di Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang.

"Sebelum pulang dari sini kira-kira 12.30 tengah malam, keluarga ada meminta Rohaizan yang berasal dari Kluang, supaya berehat dan pulang selepas subuh bagaimanapun arwah berkeras untuk pulang cepat kerana bertugas," katanya. 

"Semua anggota keluarga kami sedih dengan kejadian ini namun reda dengan ketentuan Tuhan. Apa yang penting adalah membesarkan seorang lagi anaknya dengan penuh kasih sayang kerana dia bukan saja tidak sempat melihat adiknya, malah kehilangan ibu, bapa, kakak dan abang," katanya.

Jiran mangsa, Amaludin Rahim, 21, berkata beliau sedih dengan kejadian itu kerana rapat dengan semua mangsa dan menganggap mereka sebagai keluarga sendiri.

"Walaupun kami hanya berjiran, saya membesar bersama mereka dan menganggap Sallyza Hakim sebagai kakak sendiri, malah memanggilnya 'kak long'," katanya yang kali terakhir bertemu keluarga itu Februari lalu. 

- Sumber: Bernama | 1 April, 2015

No comments:

Post a Comment