Sunday 1 March 2015

Menara Condong Teluk Intan diisytihar Warisan Kebangsaan

MUHYIDDIN : Menara Condong Teluk Intan, yang dibina pada 1885, memiliki keunikan dengan konsep Pagoda yang menunjukkan pengaruh kekayaan budaya dan seni bina Cina seperti pada gerbang, bumbung genting dan hiasan jubinnya.

TELUK INTAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini mengisytiharkan Menara Condong Teluk Intan sebagai Warisan Kebangsaan.

Beliau berkata justeru itu, sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2015 ini, yang diadakan di Dataran Menara Condong di sini, amat istimewa dan mempunyai signifikan tersendiri kerana kerajaan memberi pengiktirafan kepada Menara Condong Teluk Intan sebagai Warisan Kebangsaan.

Muhyiddin berkata Menara Condong Teluk Intan, yang dibina pada 1885, memiliki keunikan yang amat ketara dengan konsep Pagoda yang menunjukkan pengaruh kekayaan budaya dan seni bina Cina seperti pada gerbang, bumbung genting dan hiasan jubinnya.

"Sejarah bangunan yang merupakan mercu tanda Bandar Teluk Intan ini unik kerana fokusnya adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Ia dijadikan sebagai tangki air pada waktu kemarau dan juga mempunyai kemudahan memadam api.

"Jam yang terdapat pada menara ini juga merupakan lambang perpaduan rakyat Teluk Intan kerana ianya merupakan hasil sumbangan derma daripada penduduk tempatan pada ketika itu," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2015 di sini malam ini. 

Muhyiddin juga berkata Menara Condong ini juga menjadi satu daripada tarikan kepada pelancong yang berkunjung ke Perak seperti 'The Leaning Tower of Pisa' di Itali. 

"Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Warisan Negara iaitu agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, dan juga kepada Kerajaan Negeri Perak khususnya Majlis Perbandaran Teluk Intan yang telah berjaya mendapatkan pengiktirafan Menara Condong Teluk Intan yang penuh sejarah ini, sebagai Warisan Kebangsaan," katanya. 

Justeru, beliau berkata kerajaan juga dalam proses mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa bagi menjadikan Menara Condong Teluk Intan sebagai satu daripada warisan Dunia UNESCO.

"Sesungguhnya, usaha mengekalkan dan memelihara warisan dan budaya merupakan tanggungjawab kita bersama.

"Diharap ia juga akan dapat mempromosi Teluk Intan sebagai pusat tarikan pelancong dalam dan luar negara di masa akan datang," katanya. 

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment