Sunday 1 March 2015

Gambar putus kepala tiada kaitan

(Gambar kiri) Gambar sebenar kemalangan di Gurun, kelmarin. (Gambar kanan), Gambar ngeri kanak-kanak yang cuba dikaitkan dengan kemalangan kelmarin.

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menafikan kaitan gambar seorang kanak-kanak perempuan yang tersebar di laman sosial ‘WhatsApp’ dengan kemalangan ngeri yang berlaku di Jalan Jeniang-Gurun, kelmarin.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Kedah, Nur Hafizah Mohammad Lukman berkata, gambar berkenaan tidak ada kena mengena dengan kemalangan di Gurun.
Menurutnya, berdasarkan gambar itu, tempat dan situasi yang berlaku berbeza.

“Kita percaya gambar membabitkan kanak-kanak itu berlaku di luar negara namun ada yang cuba hebahkan benda tidak benar.

“Gambar diambil anggota JBPM dan gambar tersebar di laman sosial jelas berbeza seperti lokasi kejadian kemalangan petang itu berumput hijau tetapi gambar kanak-kanak berkenaan di jalan tanah merah,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, di sini, semalam.

Sementara itu, penyebaran gambar itu turut menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai terutama penduduk yang sering menggunakan jalan berkenaan.

Melalui pemerhatian di satu kumpulan ‘WhatsApp’, lokasi kemalangan yang lebih dikenali sebagai kawasan Jentayu berdekatan ladang kelapa sawit itu sering dikenali sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan.

Disebabkan penyebaran gambar ngeri kanak-kanak itu, ada antara mereka mula rasa bimbang untuk melalui kawasan berkenaan terutama pada lewat malam kerana masih terbayang kecederaan dialami mangsa.

Nur Hafizah berkata, kejadian kemalangan petang kelmarin di jalan itu melibatkan kematian dua lelaki tempatan bersaudara berumur 23 tahun dan bapa saudaranya berumur lingkungan 30-an yang menaiki kereta Proton Wira.

Manakala seorang wanita yang memandu Mitsubishi Triton dari arah bertentangan dipercayai terbabas sebelum merempuh kereta mangsa berjaya diselamatkan hasil bantuan orang ramai sebelum kenderaan itu terbakar. Dia mengalami cedera parah.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment