Friday 6 February 2015

Jangan sertai acara keagamaan

Dr Mohd Asri

KANGAR - Datuk Seri Najib Tun Razak boleh menghadiri Thaipusam yang diadakan di Batu Caves, bagi meraikan rakyat beragama Hindu sejajar dengan amalan kepelbagaian agama di negara ini.
B
Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak boleh menyertai sebarang acara keagamaan mereka kerana ia menyalahi atau bertentangan dengan kehendak Islam.

Mufti Perlis yang baharu dilantik, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Najib wajar meraikan penduduk berlainan agama yang mengadakan acara keagamaan sebagai pemimpin nombor satu negara, yang menjaga kepentingan semua bangsa dan agama.

Menurutnya, sebagai Perdana Menteri, Najib bukan hanya menjaga orang Melayu tetapi kaum lain termasuk Cina dan India yang mempunyai fahaman agama berbeza tetapi masih perlu diraikan.

“Perdana Menteri boleh pergi untuk meraikan acara keagamaan kaum lain tetapi jangan sampai menyertai program yang diadakan sehingga dilihat menjadi sebahagian daripada mereka.

“Beliau boleh datang bersalaman dengan mereka dan kemudian terus naik pentas. Dalam ucapannya, boleh selit mengenai kepentingan menjaga keharmonian kaum dan agama untuk mengelakkan ketegangan atau pergaduhan akibat perbalahan agama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya, semalam.

Sehubungan itu, pegawai atau penasihat Perdana Menteri perlu memainkan peranan penting dengan bertegas kepada penganjur agar mematuhi kehendak agama kerana Najib adalah orang Islam. 

“Mereka perlu tegas dalam hal ini dan memaklumkan kepada penganjur Thaipusam di Batu Caves bahawa Najib boleh hadir dengan syarat tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang bentuk acara keagamaan penganut Hindu.

“Ini yang dilarang oleh Islam. Pemimpin Islam tidak dilarang menghadiri program penganut agama lain tetapi mesti ada had dan batasannya,” katanya.

Menurutnya, penasihat Perdana Menteri juga perlu memaklumkan kepada penganjur agar tidak menghadiahkan kalungan bunga kepada Najib atau memintanya memakai pakaian orang Hindu ketika menyambut acara keagamaan.

“Najib boleh datang dengan memakai sut. Tidak salah berpakaian sedemikian. Yang penting Najib meraikan program keagamaan penganut Hindu kerana beliau adalah Perdana Menteri Malaysia dan menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia,” katanya. 

Asri juga mengambil contoh anggota polis Islam bertugas menjaga keselamatan di Batu Caves sempena Thaipusam dan itu tidak bermakna mereka turut merayakannya.

“Anggota polis menjaga keselamatan orang ramai dan memastikan perayaan itu berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang gangguan.

“Mereka tidak merayakan acara itu sebaliknya hanya menjalan tugas mengawal keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment