Wednesday 28 January 2015

"Saya sedia berdepan Ibrahim Ali atau sesiapa sahaja di mahkamah" - Joseph Kurup

Joseph berkata berkata kelangsungan perpaduan nasional adalah penting bagi memastikan Malaysia terus maju.

KUALA LUMPUR: Susulan tindakan saman fitnah oleh Perkasa, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata beliau bersedia berdepan sesiapa di mahkamah demi mempertahankan perpaduan negara.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau berkata kelangsungan perpaduan nasional adalah penting bagi memastikan Malaysia terus maju serta mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Keamanan dan kestabilan merupakan kekayaan negara yang tidak ternilai dan kerajaan akan sentiasa berusaha untuk mengekalkan 'harta negara' ini.

"Akibat dari kegagalan untuk melindungi, memelihara dan mengukuhkan perpaduan yang berharga ini ialah kemusnahan ekonomi dan pembangunan yang dibina," katanya.

Mengulas tentang tindakan saman oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pagi tadi, Joseph berkata beliau pasti telah lakukan sesuatu yang betul sehingga mengundang tindakan sedemikian.

"Sebagai menteri yang menyelia perpaduan negara, saya telah membuat pendirian untuk tidak bertolak ansur dengan fanatik perkauman dan agama yang merosakan keharmonian masyarakat.

"Ia adalah tanggungjawab dan misi saya untuk melihat kejadian ekstremis seperti ini dipatahkan," kata Joseph lagi.

Terdahulu, Ibrahim telah memfailkan saman fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup atas dakwaannya melabel pertubuhan itu sebagai pelampau.

Ia dipercayai berikutan kenyataan Joseph pada 24 Disember lalu telah mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan pertubuhan seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan PERKASA sebagai pengganas dan pelampau. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment