Wednesday 28 January 2015

Sembilan 'projek sakit' selesai

Bangunan rumah kedai di Pulau Melaka yang terbengkalai sejak 1998 kini sudah berjaya dipulihkan dan akan diserahkan kepada pembeli.

BANDARAYA MELAKA - Kerajaan negeri berjaya memulihkan sembilan projek terbengkalai, lebih separuh dari keseluruhan projek dengan sebahagian daripadanya terbengkalai sejak penghujung 1990.

Secara keseluruhan, terdapat 15 projek terdiri daripada premis perniagaan dan perumahan terbengkalai di negeri ini.

Exco Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Lim Ban Hong berkata, meskipun kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk memulihkan baki enam projek yang masih terbengkalai, ia terpaksa mengambil sedikit masa memandangkan banyak aspek perlu diberi perhatian.

Menurutnya, pengambil alihan mana-mana projek terbengkalai merupakan isu rumit kerana membabitkan aspek perundangan, termasuk pihak bank.

"Aspek pemaju terdahulu pun perlu diberi perhatian kerana ada pemaju yang telah memajukan sebahagian projek terbabit tetapi tidak menerima bayaran.

“Meskipun kebanyakan projek ini merupakan projek swasta, kerajaan negeri merasakan perlu untuk mengambil alih demi untuk menjaga kepentingan pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pulau Melaka, di sini semalam.

Projek Pulau Melaka yang mula dibangunkan pada pertengahan 1990an merupakan satu projek terbengkalai di negeri ini berikutan kegawatan ekonomi pada 1998.

Bagaimanapun, setelah ia diambil alih kerajaan negeri menerusi Perbadanan Ketua Menteri (CMI) beberapa tahun lalu, projek berkenaan berjaya dipulihkan semula dan majlis penyerahan kepada pembeli dijangka diadakan Ahad ini.

Menurutnya, hasil usaha CMI dan KAJ Development Sdn Bhd, Pulau Melaka bakal berwajah baru mulai bulan hadapan apabila kunci untuk premis di pulau berkenaan diserahkan kepada pembeli.

“KAJ Development berjaya memulihkan lebih 1,233 unit rumah kedai dan pejabat lengkap dengankerja infrastruktur dan lanskap di pulau berkenaan.

“Seiring dengan pembangunan Melaka Gateway di sini, kerajaan negeri yakin Pulau Melaka akan suatu hari nanti menjadi satu pulau pelancongan yang akan berjaya menarik kunjungan orang ramai,” katanya.

Untuk rekod, Sijil Layak Menduduki (CFO) untuk 612 unit bangunan yang dipulihkan telah dikeluarkan pada 30 April tahun lalu manakala untuk 564 unit dan 621 unit lagi masing-masing dikeluarkan pada 8 Ogos lalu.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment