Monday 28 December 2015

Neelofa jumpa Julianne Moore, Mariah Carey di New York

NEELOFA terserempak pelakon Hollywood, Julianne Moore ketika makan malam di sebuah restoran Itali.

KUALA LUMPUR: Sejak 'berkampung' di kota kosmopolitan New York, Amerika Syarikat (AS) hampir sebulan lalu, pelakon dan pengacara popular, Neelofa melalui pelbagai detik manis dan tidak kurang mengejutkan.

Terbaharu, Neelofa yang sedang mengikuti kursus pendek penjenamaan dan pemasaran di kota raya itu terserempak pelakon kelas A Hollywood, Julianne Moore ketika sedang menikmati makan malam di sebuah restoran Itali.

Insiden itu dikongsi Neelofa dalam laman Instagram, hari ini.

Menghubungi Neelofa, pengacara Meletop itu menceritakan pengalaman manis bertentang mata dengan Moore.

"Memang tak sangka dapat makan di sebelah meja Moore. Memang hari ini, Lofa merancang makan malam dengan kawan di restoran terbabit.

"Kebetulan ada teman Lofa mengesyorkan mencuba menu di restoran itu. Selepas membuat tempahan pada sebelah pagi, Lofa dan rakan sampai di restoran itu kira-kira jam 7 malam waktu tempatan," katanya.

Terus bercerita, Neelofa berkata, setibanya di premis berkenaan, dia tidak tahu ada pelakon hebat sedang menikmati juadah di situ.

"Selepas duduk dan meletakkan jaket di kerusi, Lofa tengok ke sebelah kiri, rupa-rupanya Moore sedang menikmati makanan bersama kawannya.

"Lofa sangat terkejut sebab minggu lalu, Lofa ada menonton filem lakonan Moore berjudul Still Alice... Tiba-tiba dapat tengok dia di depan mata," katanya.

Bagaimanapun, Neelofa memberitahu, dia tidak terlalu menunjukkan reaksi gembira keterlaluan. Ini kerana katanya, sudah menjadi kebiasaan penduduk New York tidak mengganggu privasi selebriti apabila terserempak di premis seperti itu.

"Di New York sudah menjadi kebiasaan orang awam apabila ternampak selebriti di restoran atau makan bersama keluarga, hak privasi mereka tidak akan diganggu. Lainlah kalau jumpa selebriti Hollywood di jalanan, itu boleh disapa.

"Jadi Lofa hanya mengambil gambar 'curi' Moore saja," katanya.

Neelofa juga berkongsi pengalaman menonton Konsert Mariah Carey di The Beacon Theatre, baru-baru ini. Menurut aktres jelita ini, segala-galanya berlaku tanpa dirancang. 

"Dua hari sebelum konsert, Lofa membeli tiket melalui talian. Lofa beli tiket tanpa boleh memilih tempat duduk.

"Lofa hanya boleh membeli tiket jenis kumpulan saja. Akhirnya, Lofa membeli tiket kumpulan orkestra. Pada hari konsert berlangsung, sebaik Lofa sampai, tiba-tiba pengajur mengiringi Lofa sampai ke depan pentas.

"Hendak dijadikan cerita, Lofa diberi duduk di tengah pentas dan barisan paling hadapan sekali," katanya.

Menceritakan malam itu berlalu dengan kenangan indah, Neelofa mengikuti setiap persembahan diva terkenal itu dengan khusyuk.

"Ia malam yang menyeronokkan. Suara Carey memang jelas didengari," katanya. 

Mengakhiri perbualan, Neelofa berkata, ramai selebriti Hollywood boleh ditemui di kota raya itu sepanjang sambutan Krismas dan tahun baharu.

"Memang selebriti Hollywood boleh ditemui dengan mudah di pusat beli-belah. Cuma kadang-kadang kita sendiri tak perasan atau kenal selebriti terbabit kerana mereka bergaya santai," katanya.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment