Sunday 22 November 2015

Suspek pukul gadis di Wakaf Mek Zainab direman empat hari

MAZLAN: Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa. - Gambar Fail

KOTA BHARU: Seorang lagi suspek kes seorang gadis berusia 20-an dipukul beberapa wanita di Wakaf Mek Zainab di sini bulan lepas, direman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata suspek berkenaan berusia 22 tahun, ditahan di kawasan tempat meletak kenderaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Beliau berkata perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Baharu Rozita Md Saad.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.

Bulan lepas, seorang gadis berusia 20-an dipukul beberapa wanita yang dikatakan berpunca daripada salah faham, dan mangsa juga didakwa menjalin hubungan sulit dengan tunang serta bekas suami dengan suspek-suspek berkenaan.

Video mangsa yang dipukul turut menjadi viral di laman sosial Facebook.

Suspek utama kes itu, Ika Ekora atau nama sebenar Nurul Atikah Hanafi, 27, didakwa di Mahkamah Majistret Kota Baharu pada 30 Okt lepas.

Seorang lagi suspek wanita dikenali sebagai Nija, 21, turut ditahan pada 15 Nov lepas ketika sedang makan di sebuah restoran di Panji pada pukul 10.20 malam serta direman selama empat hari dan tempoh reman disambung empat hari lagi bermula 19 Nov. 

- Sumber: Bernama | November 22, 2015

No comments:

Post a Comment