Sunday 22 November 2015

Nurul Izzah boleh ditahan dibawah Sosma

Nurul Izzah Anwar

SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar boleh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan berikutan pertemuan yang dibuat antara beliau dengan Puteri Sultan Sulu, Jacel Kiram pada 9 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dipetik Astro Awani berkata, polis akan memanggil Nurul Izzah pada minggu depan untuk disoal siasat bagi mengetahui tujuan sebenar pertemuan penuh kontroversi itu.

“Walaupun beliau telah memohon maaf, tetapi pihak kami masih akan memanggilnya untuk disoal siasat mengenai tujuan sebenar pertemuan itu.

“Ini perkara serius, seorang ahli Parlimen pergi berjumpa dengan musuh negara yang telah mengorbankan nyawa ramai rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Program Sunathon 2015 di Masjid Bukit Aman, hari ini.

Semalam, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyatakan kekesalan dengan kecaman yang diterima, susulan pertemuannya dengan Jacel di Filipina, pada awal bulan ini.

Beliau adalah antara 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan Naib Presiden Filipina.

Kata Khalid lagi, tindakan Izzah yang mengadakan pertemuan dengan Jacel adalah tindakan yang amat meragukan.

Ini kerana menurutnya, pertemuan terbabit dilihat bukan secara kebetulan dan boleh mengancam keselamatan negara.

“Mana kita nak tahu serangan ke atas Sabah pada 2013 yang lalu, didalangi orang dalam negara?

“Pada pendapat saya, gambar pertemuan mereka lebih kepada dirancang dan bukan secara kebetulan. Paling penting, kami nak tahu apa tujuan mereka berjumpa. Lagi sekali saya tegaskan, tindakan beliau boleh mengancam keselamatan negara.

"Sebagai Ketua Polis Negara, saya amat marah, kerana beliau sanggup berjumpa musuh negara,” jelasnya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment