Sunday 1 November 2015

Nur Fazura dedah semua dalam musim kedua

NUR Fazura Sharifuddin

PETALING JAYA: Selepas putus cinta dengan Shaheizy Sam, tidak kedengaran lagi pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki.

Bagaimanapun, sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila secara tiba-tiba, pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 ini mendedahkan kisah perpisahannya.

Cerita itu dinyatakan sendiri Nur Fazura atau Faz, 32, ketika ditemui pada majlis pratonton program realiti Facing Up To Fazura di Talent Lounge, Damansara Perdana, di sini, semalam.

"Mesti ramai yang terkejut apabila saya mahu bercerita kisah perpisahan sedangkan ramai yang tahu saya single. Semua ini akan saya dedahkan secara eksklusif dalam program ini.

"Menerusi program ini, saya kerap mengalir air mata. Banyak perkara yang selama ini saya pendam, saya luahkan semua.

"Bukan mudah untuk kita membuka rahsia diri tetapi itulah yang saya lakukan untuk musim kedua ini," ujar Faz yang turut menjadi penerbit bersama untuk program realiti itu. 

Pada majlis itu, Faz turut menghiburkan tetamu dengan dua lagu termasuk single terbaharunya berjudul Bangun.

Mengikut Faz, lagu ciptaan anggota kumpulan The Waklu's itu dihasilkan berdasarkan kisah benar dirinya. 

"Sebelum ini, saya pernah dihentam di laman Instagram kerana merakam selfie dengan anjing. Kebetulan mereka membaca komen yang ditulis dan menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Justeru, lagu itu ditulis bagi memberi semangat agar saya terus bangun dan tidak mudah berputus asa. Liriknya sangat sesuai untuk semua orang kerana ia memberi motivasi," katanya.

Facing Up To Fazura musim kedua akan mula disiarkan di saluran E! (Astro 712) jam 10 malam ini.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment