Saturday 8 August 2015

Kembalikan dua pegawai SPRM, jika tidak...

Bahri (kiri) dan Rohaizad ketika meninggalkan pejabat SPRM Putrajaya, semalam.

SHAH ALAM - Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), salah satu panel yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuntut dua pegawai suruhanjaya itu dikembalikan.

Pengerusinya, Tan Sri Johan Jaafar dalam satu kenyataan menzahirkan rasa terkejut dengan tindakan menukar pegawai kanan SPRM yang terlibat dalam penyiasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

Menyifatkan pertukaran kedua-dua pegawai itu hanya akan menambahkan ketegangan, Johan berkata, Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob harus dikembalikan semula dengan serta-merta bagi membolehkan mereka meneruskan tugas masing-masing di SPRM.

"Malah, pertukaran ini akan mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding jawapan dan ia akan mewujudkan lebih banyak syak wasangka dan teori konspirasi," tegasnya.

Johan turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu sebarang bentuk 'intimidasi' dan tindakan terhadap pegawai-pegawai kanan SPRM dihentikan.

Semalam, Bahri dan Rohaizad dilaporkan ditukarkan serta-merta ke Jabatan Perdana Menteri dan akan mula berkhidmat pada Isnin.

Sebelum ini Bahri dalam satu kenyataan menegaskan akan mencari dalang yang mengarahkan penahanan pegawai SPRM yang terlibat dalam penyiasatan melibatkan SRC International Sdn. Bhd.

Katanya, pihaknya tidak ada masa berpolitik tetapi akan melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan dan diharapkan oleh rakyat.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment