Monday, 27 July 2015

Saya mempertahankan kebebasan bersuara bukan individu - Nazir Razak

Nazir berkata apa yang dipertahankan beliau adalah prinsip kebebasan media dan kebebasan untuk bersuara. 

PUTRAJAYA: Pengerusi kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak hari ini menegaskan, ulasan beliau berhubung penggantungan permit akhbar The Edge Financial dan The Edge Weekly bukan untuk mempertahankan mana-mana individu.

Sebaliknya, tegas Nazir, apa yang dipertahankan beliau adalah prinsip kebebasan media dan kebebasan untuk bersuara.

“Ia bukan untuk orang-orang The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily, saya berdiri untuk kebebasan media”, kata beliau yang juga adik bongsu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ulasannya menerusi akaun media sosialnya berhubung penggantungan permit penerbitan akhbar itu sementara oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sementara itu, Nazir turut dipetik sebagai berkata, hubungan kekeluargaannya masih lagi utuh.

“Saya ada berbincang secara peribadi dengan abang saya (Najib) tetapi saya tidak akan mendedahkannya” ujarnya.

Beliau mengulas perkara itu ketika menghadiri rumah terbuka sambutan Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya hari ini.

Pada Jumaat, Nazir dalam catatan akaun media sosial berkata The Edge adalah tunjang kepada komuniti perniagaan dan berperanan dalam memastikan industri perniagaan mendapat maklumat secara jujur dan kompetitif.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment