Kematian Bobbi Kristina dikatakan tragis kerana ia menyamai kematian ibunya, Whitney Houston.
KUALA LUMPUR: Anak perempuan penyanyi terkenal Whitney Houston dan Bobby Brown, Bobbi Kristina Brown telah meninggal dunia pada usia 22 tahun selepas koma sejak enam bulan lalu.
Bobbi Kristina meninggal dunia di sebuah pusat penjagaan yang terletak di Atlanta, Georgia di Amerika Syarikat (AS) pada 26 Julai 2015.
Keluarga Houston mengumumkan berita itu melalui satu kenyataan media, lapor portal berita People.
Bobbi Kristina, yang dijumpai dalam keadaan tidak sedar diri dalam tab mandi pada Januari 31 tahun ini, dilapor berada dalam keadaan koma hampir tujuh bulan sebelum menghembus nafas terakhir semalam.
"Bobbi Kristina Brown meninggal dunia pada 26 Julai 2015, dikelilingi oleh keluarganya," kata keluarga Houston dalam satu kenyataan media.
"Dia kini berada di tempat yang lebih baik dan kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerana memberi sokongan kepada kami sepanjang masa ini," kata kenyataan itu lagi.
Menurut keluarga Houston, walaupun diberi rawatan perubatan yang canggih, keadaan Bobbi Kristina tetap merosot setiap hari.
Sementara itu, para netizen tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Bobbi Kristina di laman Twitter.
Kematian Bobbi Kristina dikatakan satu tragedi, tambah-tambah lagi apabila kematiannya menyamai kematian tragis ibunya.
Whitney Houston meninggal dunia pada 11 Februari 2012. Penyanyi tersohor itu dijumpai dalam keadaan tidak sedar dalam tab mandi di bilik hotelnya di Beverly Hilton Hotel di Los Angeles sejurus sebelum acara tahunan Anugerah Grammy berlangsung.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment