Monday 6 July 2015

Insiden kecoh forum kedai kopi DAP Johor

Kekecohan yang berlaku di kedai kopi di Taman Megah Ria, Masai petang Ahad. - Foto Facebook Liow Cai Tung

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penyokong UMNO didakwa mencetuskan kekecohan di sebuah forum Kedai Kopi di Taman Megah Ria, Masai petang tadi ketika sesi ramah mesra DAP Johor dengan masyarakat Sabah dan Sarawak.

Insiden dipercayai tercetus selepas Pengarah DAP Johor Liew Chin Tong dikatakan mengeluarkan kenyataan menghina UMNO dan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Berdasarkan beberapa video yang dimuatnaik di laman Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung, kumpulan tersebut yang rata-ratanya berbaju merah mula naik marah semasa ucapan Liew sedang berlangsung.


Kejadian kecoh di forum anjuran DAP di Taman Megah Ria, Masai. - Foto Facebook Liow Cai Tung

Mereka mengarahkan Penasihat DAP yang juga merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang supaya beredar dengan berkata melaungkan kata-kata "Kit Siang balik, Kit Siang balik!"

Dalam salah satu video tersebut, seorang individu berbaju merah juga dilihat mengugut Kit Siang supaya keluar dari kedai tersebut.

"Lima minit kalau dia tak keluar.. dia mati atau saya mati!" jerit lelaki tersebut.

Seminit kemudian, seorang lelaki berpakaian hitam yang dipercayai anggota polis berpakaian preman meminta supaya jangan ada sebarang provokasi terhadap kenderaan atau orang.

Menerusi imej WhatsApp yang dimuat naik di laman tersebut juga, kumpulan tersebut dipercayai telah berhimpun dan merancangnya lebih awal bagi membantah kehadiran Kit Siang ke kawasan itu.

Imej WhatsApp dari laman Facebook Liow Cai Tung
Suasana menjadi kecoh selama beberapa minit di mana insiden tolak menolak antara kumpulan tersebut dengan beberapa ahli dan pemimpin DAP turut berlaku.

Pihak polis kemudiannya cuba meredakan keadaan serta menasihati ahli-ahli DAP di situ supaya menghentikan program tersebut, kerana dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih keruh.

Pemimpin-pemimpin DAP juga diiringi keluar dengan selamat oleh polis.

- Sumber: Astro Awani | Julai 05, 2015

No comments:

Post a Comment