Dr Mahathir
SHAH ALAM - Pemuda Pas Pusat hari ini kesal dengan sikap kerajaan bersikap 'acuh tak acuh' dalam menangani kemerosotan nilai ringgit yang semakin merudum sehingga RM3.81 berbanding Dollar Amerika.
Naib Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin mendakwa prestasi nilai ringgit pada masa ini telah menyamai rekod sewaktu kemelesetan ekonomi negara pada 1997 dan 1998.
“Pemuda Pas Pusat kesal dengan sikap kerajaan yang dilihat suram dalam menangani kemerosotan ini. Banyak isu yang melibatkan kepentingan awam juga masih belum terjawab.
“Ketegangan kaum, skandal kewangan 1MDB yang melibatkan Lembaga Tabung Haji dan Tenaga Nasional Berhad, kejatuhan saham Felda Global Ventures, pemulihan MAS dan perjanjian TPPA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau juga berkata, kerajaan perlu mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan memperkenalkan pelan pemulihan yang jelas.
“Perdana Menteri ketika fasa itu telah melakukan kawalan pertukaran mata wang terpilih (2000) serta mengemukakan cadangan penggunaan dinar sebagai mata wang perdagangan antarabangsa (2002).
“Sekurang-kurangnya terdapat langkah reaktif dan inisiatif yang telah diambil untuk menangani krisis pada waktu tersebut,” ujarnya.
Sebaliknya, kerajaan pada hari ini begitu lemah dan keadaan bertambah buruk dengan pelbagai isu yang melibatkan kredibiliti Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan terburuk dalam sejarah Malaysia.
“Kerajaan dilihat lemah dan diselubungi dengan pelbagai isu yang melibatkan kredibiliti Perdana Menteri sendiri. Pemuda Pas Pusat bimbang kelemahan tersebut menjerumuskan negara ke arah ekonomi yang lebih parah,” katanya lagi.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment