Sunday, 26 July 2015

Gantung The Edge: KDN perlu jelaskan dengan telus dan terperinci - Reezal

REEZAL: penjelasan ini perlu bagi mengelak timbulnya persepsi buruk terhadap kerajaan. - Gambar Fail

KEPALA BATAS: Kementerian Dalam Negeri, KDN diminta memberikan penjelasan lebih telus dan terperinci mengapa permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily digantung.

Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican penjelasan ini perlu bagi mengelak timbulnya persepsi buruk terhadap kerajaan.

“KDN perlu memaklumkan sebab apa mereka digantung kalau dikatakan mereka boleh mencetuskan suasana tidak tenteram, pembohongan, fitnah maka ia perlu diterangkan dahulu. Agar ia menjadi lebih nyata dan terang dan dapat diterima rakyat.

“Saya khuatir pertimbangan yang sebegini kalau gagal difahami oleh rakyat akan memberi gambaran yang tidak sihat kepada kerajaan,” kata Reezal pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Shariful Azhar Othman di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.

Reezal juga menegaskan penjelasan mampu menangkis persepsi buruk, kalangan pembaca akhbar berkenaan yang majoritinya terdiri daripada kalangan pelabur asing serta warga korporat.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu juga meminta KDN tidak selektif dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bersikap provokasi.

Reezal mengulas penggantungan permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial selama tiga bulan oleh KDN pada Jumaat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Jumaat turut mengesahkan penggantungan tersebut dibuat kerana penerbitan akhbar itu mempunyai motif-motif tertentu. 

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment