Friday 24 July 2015

Azharina berang pejabatnya dipecah masuk kali kedua




KUALA LUMPUR: Penyanyi Azharina berang apabila ada cubaan memecah masuk pejabat miliknya untuk kali kedua. 

Azharina atau nama sebenarnya Azharina Azhar, 30, berkata, beliau mengalami kerugian sebanyak RM60,000 ketika pejabat bagi menguruskan perniagaannya dipecah masuk kira-kira dua bulan lalu.

"Ini kali kedua pejabat saya dipecah masuk. Polis yang menyiasat kes ini berpendapat ianya dirancang oleh sindiket yang menjalankan pemerhatian terlebih dahulu sebelum merompak.


"Alhamdulillah percubaan kali kedua gagal. Mereka tidak berjaya memecah masuk pejabat saya kerana kami telah menukar sistem penggera selepas mengambil iktibar daripada kes rompakan pertama.

"Selepas melihat semula kamera litar tertutup, kami mendapati dua orang lelaki cuba menceroboh pejabat saya namun tidak berjaya. Pada hari kejadian, telefon bimbit saya berbunyi tanpa henti kerana syarikat penggera itu ingin memaklumkan ada pihak yang ingin memecah masuk premis," kata Azharina kepada BH Online.


Pelantun lagu Elergi Sepi itu berkongsi beliau berada dalam keadaan trauma kerana premis perniagaannya terdedah dengan bahaya. Malah, beberapa hari lalu, ada seorang lelaki cuba untuk memecah masuk rumahnya dan menggugut ibunya.

"Memang saya berada dalam keadaan trauma kerana ada pula cubaan untuk memecah masuk rumah saya. Individu itu bertindak memukul pegawai keselamatan yang meronda di kawasan rumah saya.

"Malah lelaki itu juga turut menggugut untuk merogol pembantu rumah saya. Sudah jatuh ditimpa tangga, saya merasa kurang selamat kerana kejadian yang berlaku berturut-turut ini. 

"Lagipun, saya seorang diri di rumah bersama anak saya yang masih berumur sembilan bulan. Semestinya saya mengambil langkah berhati-hati bagi memastikan keselamatan saya dan anak terjamin," tegas beliau lagi.

Tambah Azharina, kehidupan beliau terisi dengan kehadiran anak angkatnya, Rahmat Azharin yang kini berusia sembilan bulan. Beliau tidak berselindung identiti ibu bapa kandung anak angkatnya itu dengan menjelaskan bayi lelaki itu adalah anak sepupu lelakinya. 

Sementara itu, Azharina berkongsi beliau kini sedang dalam rangka promosi single terbaharunya berjudul Cinta Kita Selamanya.

Single itu adalah hasil terbitan bersama FASTYLE dan Azharina Entertainment dan mendapat sentuhan dari komposer terkenal Datuk Adnan Abu Hassan.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment