N
Chelsea terima kunjungan Swansea dalam perlawanan pembukaan BPL.
Juara bertahan liga perdana Inggeris Barclays (BPL), Chelsea akan menerima kunjungan Swansea pada perlawanan pembukaan musim 2015/2016 yang bermula 8 Ogos nanti.
Sementara pendatang baru, Bournemouth yang layak ke BPL selaku juara liga championship akan bertemu Aston Villa di gelanggang sendiri dalam perlawanan pertama.
Perlawanan tumpuan pada hari pertama sudah pasti Manchester United yang bakal menerima kunjungan Tottenham Hotspur dan juga pertarungan London derby antara Arsenal dan West Ham.
Bekas juara Inggeris 18 kali, Liverpool pula akan memulakan kempen di Stadium Britannia dimana mereka tewas 6-1 kepada Stoke City dalam perlawanan terakhir liga musim lalu.
Ia juga merupakan cabaran baru buat pengurus Liverpool, Brendan Rodgers dalam menempuhi era baru tanpa kapten berpengaruh, Steven Gerrard yang berhijrah ke Los Angeles Galaxy di Amerika Syarikat.
Dua lagi pasukan yang layak ke BPL adalah Norwich City dan Watford masing-masing akan bertemu Crystal Palace dan Everton.
Minggu kedua BPL lebih menarik apabila Chelsea akan bertandang ke Stadium Emirates bagi pertemuan dengan naib juara, Manchester City pada 15 Ogos.
Apapun peminat bola sepak tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan pertemuan dua seteru utama, Manchester United dan Liverpool.
The Red Devils yang juga juara 20 kali, akan menerima kunjungan Liverpool pada 12 September dalam pertembungan yang sudah pasti penuh dengan debaran dan kontroversi.
Dapatkan jadual penuh BPL di laman rasmi Premier League.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment