Friday 5 June 2015

Gempa: Tiada kematian di Gunung Kinabalu dilaporkan - Polis Sabah

Sebahagian daripada 30 malim Gunung Kinabalu bersiap sedia untuk misi menyelamat bagi membawa turun pendaki-pendaki yang terkandas di puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu di sini akibat gempa bumi di Sabah pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Polis Sabah hari ini mengesahkan tiada kematian dilaporkan berlaku di Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi 6.0 magnitud pada pagi tadi yang mengakibatkan beberapa kemusnahan berlaku di Bandar Ranau.

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengesahkan tiga orang mengalami kecederaan di gunung termasuk seorang warga Turki, ketika dihubungi Astro AWANI.

Kenyataan ini juga disahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Tuan Sarifudin Ladulu dalam perbualan telefon dengan Astro AWANI.

Sebelum ini dilaporkan 52 pendaki gunung telah beredar dari Gunung Kinabalu dengan menggunakan laluan Timpohon Gate.

Seorang pegawai Bomba dan Penyelamat yang tidak mahu dinamakan memberitahu Astro AWANI, seramai 238 pendaki gunung dan penunjuk arah masih lagi terkandas di Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi sebentar tadi.

Sementara itu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun mengesahkan seramai empat orang cedera, termasuk dua orang cedera parah.

Beliau turut melaporkan dua penunjuk arah masih tidak ditemui setakat ini.

Ketika ini, 30 penunjuk arah dan 25 ahli Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia ( SMART) telah ditugaskan ke sana sebagai usaha menyelamat.

Sebuah pesawat Eurocopter EC725 juga telah diterbangkan ke kawasan Laban Rata di Gunung Kinabalu untuk membantu usaha menyelamatkan pendaki yang terkandas susulan gempa bumi sederhana yang menggegarkan beberapa kawasan di Sabah Jumaat pagi.

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia itu turut membawa bekalan makanan dan minuman untuk mereka yang terkandas.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment