Sunday 24 May 2015

Guna laluan gunung yang sempit untuk sampai

Anggota tentera Nepal dan sukarelawan membersihkan runtuhan kuil rosak Machhindra Bahal dalam Bungamati, Nepal. - Foto EPA

JOHOR BAHRU - Menghidu bau mayat busuk dan kemungkinan kenderaan masuk gaung adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan segelintir sukarelawan dari Johor yang sempat menghulurkan bantuan selepas kejadian gempa bumi di Nepal baru-baru ini.

R.Subramaniam, 46, seorang daripada sukarelawan yang mengikuti misi kemanusiaan di Nepal baru-baru ini berkata, mereka terpaksa melalui kawasan gunung dengan menggunakan jalan yang sempit untuk sampai ke kampung Sisakani, dalam daerah Dhulikel, kira-kira 75 kilometer dari Kathmandu. 

"Sekiranya berlaku gegaran ketika kami bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui kawasan gunung itu, kami yakin 100 peratus akan masuk ke dalam gaung yang paras ketinggiannya lebih kurang 13,000 kaki," kata beliau ketika menceritakan detik-detik cemas itu kepada Bernama, baru-baru ini. 

Bapa tiga anak itu adalah antara sembilan sukarelawan dari Johor yang berada di Nepal, dari 6 hingga 9 Mei untuk menjalankan misi kemanusiaan.

Subramaniam berkata ketika sampai di lokasi yang dituju, terdapat lebih 600 orang mangsa gempa bumi dari beberapa kampung di daerah itu yang telah dikumpulkan di kawasan berkenaan, semata-mata untuk mendapatkan bantuan makanan dan perubatan.

Sementara itu, R. Shashithran, 39, hanya mampu berdoa ketika kumpulan sukarelawan yang disertainya melalui jalan yang berbahaya tersebut. 

"Kami hanya mampu berdoa kepada tuhan supaya dijauhkan daripada bahaya dan ingatan saya sentiasa pada ahli keluarga ketika itu," kata beliau. 

Shashithran berkata selepas berlaku gempa bumi, tidak semua orang sanggup bersabung nyawa untuk melalui jalan-jalan yang bahaya itu, namun pasukan mereka tetap dengan hati yang kental mengharungi cabaran demi memastikan bantuan dapat sampai kepada mereka yang memerlukan. 

Beliau turut tidak dapat melupakan bau busuk mayat mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan bangunan sepanjang perjalanan kumpulan sukarelawan itu ke kampung berkenaan. 

"Selain melalui jalan berbukit-bukit, kami terpaksa meredah sungai untuk sampai ke lokasi yang ingin ditujui," katanya. 

Walaupun menghadapi pelbagai risiko untuk meneruskan misi itu, dirinya tidak serik untuk datang kembali bagi meneruskan misi kali kedua pada Julai nanti.

Sementara itu, Datuk R. Muthusamy, seorang daripada penggerak kumpulan sukarelawan itu, berkata pada misi lepas, sebanyak RM350,000 dana berjaya dikumpul dan digunakan untuk membeli keperluan makanan, pakaian, khemah serta ubat-ubatan. 

"Misi kedua bakal dijalankan pertengahan bulan Julai nanti dengan dana yang sedia terkumpul sebanyak RM200,000,” kata Muthusamy, yang juga pengarah di sebuah syarikat tempatan. 

Dalam misi kedua, 11 sukarelawan termasuk dua pakar neurologi, akan melawat tujuh kampung di daerah yang sama. 

"Kami akan membuka klinik bergerak yang berfungsi merawat mangsa-mangsa gempa bumi. Kami telah berjanji kepada penduduk kampung untuk datang kembali bagi membawa bantuan perubatan kepada mereka," kata beliau.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment