Sunday 24 May 2015

Dr Mahathir sedih, dakwa terpaksa akui PM bohong


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kesedihannya apabila terpaksa mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbohong dalam kes wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Melalui catatan terbaharu di blognya, hari ini, Dr Mahathir menyenaraikan dua pembohongan yang didakwanya dilakukan oleh Najib.

“Amatlah menyedihkan apabila saya dapati saya tidak dapat elak daripada kenyataan bahawa Perdana Menteri berbohong. Dalam kes wang 1MDB yang dikatakan telah dibawa balik dari Pulau Cayman dan disimpan dalam bank BSI Singapura, jawapan bertulis oleh Perdana Menteri kepada soalan Parlimen tidak menepati kebenaran sama sekali.

“Pembohongan yang pertama ialah tidak ada wang tunai 1MDB yang dibawa balik. Kedua, tidak ada wang tunai yang dimasukkan ke dalam bank BSI di Singapura.

“Ini jelas dari pindaan kepada jawapan yang pertama, iaitu bukan wang tunai berjumlah USD 1.103 billion (RM3.6 billion), dimasukkan dalam bank BSI tetapi dokumen (surat pengakuan) yang disimpan dengan bank. Apa dia nya surat ini tidak dijelas tetapi yang jelas ialah ia bukan wang tunai,” katanya.

Rabu lalu, Najib melalui jawapan bertulis di Parlimen menjelaskan baki pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak AS$1.1 (RM4.022) bilion ditebus dalam bentuk aset dan bukannya wang tunai.

Menurut Najib, penjelasan itu merupakan pindaan kepada jawapan kerajaan sebelum ini bahawa baki dana pelaburan 1MDB ditebus dalam bentuk wang tunai.

Menyentuh bank BSI, Dr Mahathir membangkitkan soal laporan yang dibuat bank tersebut kepada Penguasa Kewangan Singapura (MAS)

“Bank BSI telah menyatakan selepas itu bahawa dokumen yang menyatakan simpanan dibuat oleh anak syarikat 1MDB, Brazen Sky adalah palsu dan bukan daripadanya. Maka jelaslah kenyataan bertulis yang kedua oleh Najib kepada Parlimen bahawa yang disimpan adalah dokumen juga tidak benar.

“BSI bank telah lapor kepada MAS bahawa tidak ada wang 1MDB yang disimpan dengannya. Pada kebiasaannya MAS melapor maklumat ini kepada Bank Negara.

"Ini jelas daripada pengakuan bahawa kononnya laporan ini tertakluk kepada protokol kerahsiaan antarabangsa (Egmont principles of information exchange) dan kehendak kerahsiaan di bawah seksyen 10 AMLA. Dari kenyataan ini adalah jelas bahawa Bank Negara telah terima laporan Monetary Authority Singapore.

“Tujuan merahsiakan tentulah kerana ada sesuatu yang tidak kena atau pembohongan yang telah dilakukan apabila Najib menjawab soalan bahawa wang tunai telah disimpan dengan bank BSI di Singapura,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, perbuatan menyembunyikan kesalahan dalam urusan kerajaan adalah salah di sisi undang-undang malah beliau berkata, wujud unsur jenayah yang memerlukan siasatan dan jika wang itu tidak juga dapat dikesan maka proses undang-undang hendaklah diambil terhadap semua pihak yang terlibat.

“Adalah jelas bahawa dalam kes wang tunai yang didakwa oleh Perdana Menteri dan pegawai-pegawai kerajaan, Bank Negara dan 1MDB telah dibawa balik dari Pulau Caymans dan disimpan di bank BSI di Singapura serta pindaan kepada jawapan pertama bahawa bukan wang tunai yang dibawa balik dan disimpan di Singapura, tetapi dokumen, kesemuanya tidak benar.

"Mereka yang membuat laporan yang salah ini telah melanggar undang-undang jenayah Seksyen 218,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

    No comments:

    Post a Comment