Tuesday 14 April 2015

Mukhriz tidak perlu dipaksa sokong Najib - KJ

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak perlu dipaksa untuk menyatakan sokongannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kata Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak perlu dipaksa untuk menyatakan sokongannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Itu pandangan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipetik The Star Online yang turut berkata Mukhriz adalah seorang ahli politik yang berpengalaman.

“Saya percaya dia memahami keadaan dan dia akan membuat satu kenyataan tentang kedudukannya dalam masa yang sewajarnya .

“Beliau sedar apa yang sedang berlaku dan saya percaya beliau akan membuat pendiriannya . Tidak ada keperluan untuk memberi tekanan kepadanya,” Khairy dilaporkan berkata selepas menghadiri satu majlis di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin menggesa agar Mukhriz meletak jawatan sekiranya tidak dapat menyatakan pendiriannya tentang sokongannya terhadap kepimpinan Najib.

Beliau berkata Menteri Besar adalah jawatan yang dilantik oleh Perdana Menteri dengan sokongan Adun Barisan Nasional dan sekiranya beliau tidak lagi menyokong Perdana Menteri, lebih baik untuk beliau meletakkan jawatannya.

Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah sebelum ini berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pendirian UMNO Kedah terhadap kepimpinan Najib pada 24 April di Kuala Lumpur selepas mesyuarat dengan kesemua pemimpin UMNO negeri itu.

Mesyuarat itu akan membincangkan pendirian rasmi UMNO negeri itu tentang sokongan terhadap Perdana Menteri.

Kebelakangan ini Dr Mahathir sering mengeluarkan kenyataan mengkritik Najib atas pelbagai isu termasuk kes pembunuhan Altantuya dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment