Tuesday 14 April 2015

Kereta dipandu oleh ‘robot’ sejauh 5,470km


Banyak yang kita sudah dengar daripada syarikat pengeluar kereta mengenai usaha membangunkan pemanduan autonomous, terutamanya Audi yang kami anggap sebagai peneraju teknologi ini. Tetapi, apa yang Audi (ataupun mana-mana syarikat kereta) capai tidak semestinya hanya dengan usaha satu pihak.

Untuk pemanduan autonomous, antara pihak ketiga yang membantu adalah Delphi, syarikat teknologi yang banyak menyumbang kepada industri automotif dan berpengkalan di UK.


Jika Audi boleh berbangga dengan kereta autonomous mereka yang boleh mengelilingi litar perlumbaan dan lebuhraya Autobahan, Baru-baru ini pasukan penyelidikan Delphi telah berjaya menjadi penumpang kepada sebuah kenderaan R&D autonomous sepenuhnya yang mereka gelar sebagai ‘Roadrunner’.

Jarak yang dilalui sungguh mengujakan iaitu melebihi 5,470km dari San Francisco, California ke kota New York! Ini jarak dari pantai barat Amerika Syarikat hinggalah ke pantai timurnya, merentas 15 negeri dan mengambil masa sembilan hari.

Perjalanan mereka bermula pada Mac 22 lalu dengan sebuah jentera Audi Q5 khas yang dilengkapi enam radar jarak jauh, empat radar jarak dekat, tiga kamera visual, enam unit LIDAR (teknologi ‘remote sensing’ yang mengukur jarak menggunakan pancaran laser), satu sistem lokalisasi, algoritma perisian pintar dan pelbagai sistem bantuan pemandu termaju. Mengikut Delphi, sehingga 99% daripada waktu pemanduan adalah tanpa input pemandu dan sepenuhnya menggunakan kawalan autonomous.



Sudah pasti pelbagai keadaan berjaya dilalui, termasuk jalan berbukit, kesesakan di samping terowong, halangan jalan raya dan suhu serta cuaca yang berubah-ubah. Pengguna jalan raya lain yang agresif juga tidak menjadi masalah besar kepada sistem ini dan mampu mengekalkan keselamatan penumpang.

Pasukan penyelidik Delphi mengumpul hampir tiga terabyte maklumat sewaktu perjalanan ini. Dan semuanya akan dianalisa untuk menambah baik teknologi keselamatan aktif yang juga sektor teknologi yang paling aktif berkembang bagi industri automotif.



- Sumber: Astro Publication 

No comments:

Post a Comment