Saturday 4 April 2015

Mekanik gembira, dapat tangan 3D

BESUT - Seorang mekanik muda yang kehilangan tangan kanan dari paras lengan hari ini gembira kerana mendapat tangan baharu cetakan 3 Dimensi (3D) oleh sebuah syarikat animasi.

Mohd Azuan Marzuki, 26 yang berasal dari Kampung Baharu, Besut hari ini menerima tangan cetakan 3D itu daripada Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh selepas majlis perasmian Program Animasi Besut di dewan Gong Kemuntong di sini.

Mohd Azuan berkata, ketika terlibat dalam satu kemalangan motosikal di Pasir Putih, Kelantan, tahun lalu, tangan kanannya hampir hancur dan terpaksa dipotong dari paras lengan.

"Saya tidak bekerja dan terpaksa berehat di rumah dengan dibantu isteri saya Zuraini Zulkifli, 26 apabila hendak membuat sesuatu kerja," katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya segala-galanya berubah apabila beliau dapat menghubungi sebuah syarikat “Dreamedge Myvista” di Taiping dengan kerjasama Kolej Komuniti Kemaman.

"Saya bersyukur kerana tangan cetakan 3D yang saya gunakan sekarang adalah rekaan pertama yang dihasilkan syarikat berkenaan untuk orang-orang yang tidak bernasib baik seperti saya," kata Mohd Azuan.

Sementara itu, pereka Tangan Cetak 3D dari Syarikat Dreamedge Myvista, Sujana Mohd Rejab berkata rekaan itu merupakan tangan cetakan 3D pertama yang dikeluarkan syarikatnya yang bergiat dalam aktiviti dimensi dan mempunyai ibu pejabat di Cyberjaya.

Tangan yang diperbuat daripada plastik itu bergerak mengikut pergerakan otot dan sendi yang pada lengannya sehingga ke siku tetapi tidak boleh menggenggam atau mengangkat barang yang terlalu berat.

Sehubungan dengan kejayaan itu, beliau mempelawa orang ramai yang hendak mendapatkan khidmat syarikatnya bagi mereka tangan cetak 3D supaya menghubungi pihaknya melalui talian 019-3053000.

“Tiada kos dikenakan kerana pihak syarikat akan berusaha membantu orang ramai yang memerlukannya secara percuma sahaja," kata Sujana. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment