Wednesday 11 March 2015

PM isytihar harta bukan untuk orang awam - Idris Haron

IDRIS : Pengisytiharan harta ini adalah untuk kepentingan diri kita, kejujuran kita. Bukan untuk bermegah-megah, bersombong-sombong. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron mempersoalkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk mengisytihar harta.

Beliau berkata pengisytiharan harta bukan untuk orang awam.

“Najib isytihar harta bukan untuk tujuan orang awam kerana ia akan melibat banyak isu keselamatan. Namun begitu, siapa Rafizi? Kalau Rafizi mengisytihar harta, siapa tahu yang dia simpan hartanya di bawah nama orang lain?

“Anwar Ibrahim juga pernah berbuat perkara yang sama. Kalau ikut daripada harta yang diisytihar Anwar, dia tidak boleh bergerak ke seluruh negara namun kalau kita lihat, Anwar ke merata tempat.

“Jadi pengisytiharan harta ini adalah untuk kepentingan diri kita, kejujuran kita. Bukan untuk bermegah-megah, bersombong-sombong. Saya tahu Rafizi ada harta yang tak diisytihar, yang diletakkan di bawah nama orang lain, yang sengaja dilakukan demikian bagi memprovokasi orang lain," tambah Idris ketika ditemui wartawan selepas lawatannya di Astro AWANI pada Selasa.

Beliau berkata pengisytiharan harta ini boleh berlaku kepada pihak bertanggungjawab.

“Contoh macam saya, saya isytihar harta saya kepada perdana menteri. Kalau saya isytihar kepada orang awam, ia akan menjadi satu isu keselamatan. Orang awam akan tahu dan sebagainya. 

“Orang yang mengisytihar harta kepada orang awam ini, adalah orang yang yakin bahawa dia adalah bukan subjek kepada keselamatan dan sebagainya.

“Bukan keselamatan anda sahaja terancam namun anak-anak, isteri dan keluarga keluarga."

Idris berkata sekiranya beliau diminta mengisytihar harta kepada orang awam, pengisytiharan itu akan berlaku pada hari pertama beliau menjadi Ketua Menteri.

"Kemudian selepas lima tahun saya menjadi ketua menteri, ketika itu kita tengok penisytiharan dan penamaan harta itu bagaimana. Itu yang lebih penting, bukan seperti dilakukan oleh mereka. Bila rasa nak isytihar harta, isytihar.

"Pengisytiharaan harta ini akan ada nilainya, apabila pengisytiharaan harta kedua itu untuk menunjukkan bahawa, tidak ada bentuk sebarang penyalahgunaan kuasa, pengambilan kesempatan, dan sebagainya apabila memegang sesuatu jawatan yang berpengaruh.

Beliau berkata tiada masalah untuk dirinya melakukan pengisytiharan namun bukan untuk keperluan orang ramai, hanya kepada majikannya.

"Saya akan isytihar kepada majikan (perdana menteri) dan dia akan simpan fail pengisytiharan itu," kata beliau.

Rafizi sebelum ini mengisytiharkan hartanya bagi menyambut baik cabaran pemimpin UMNO dan meminta agar Najib untuk melakukan perkara yang sama.

Rafizi juga berkata Najib boleh membersihkan namanya yang dikaitkan dengan kemewahan yang dikatakan tidak berpadanan dengan gaji dengan pengisytiharan harta. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment