Wednesday 11 March 2015

Petisyen pembebasan Anwar dinaikkan semula ke laman sesawang White House

Petisyen menuntut pembebasan Anwar daripada penjara, yang tersiar di platform 'We the People' dalam laman sesawang White House, dinaikkan semula.

KUALA LUMPUR: Satu petisyen menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara di platform 'We the People' dalam laman sesawang White House dinaikkan semula oleh pentadbirnya awal pagi tadi.

Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu tuit menerusi akaun peribadinya di Twitter.

Sehingga berita ini ditulis, sebanyak 106,584 tandatangan telah berjaya dikumpulkan. Sasaran awal adalah untuk mengumpulkan sebanyak 100,000 tandatangan sebelum 12 Mac.

Terdahulu, Bernama melaporkan petisyen tersebut telah dikeluarkan pentadbirnya kerana dikatakan melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Petisyen yang anda cuba akses ini telah dikeluarkan daripada laman ini mengikut Dasar Moderasi kami kerana ia melanggar Terma Penyertaan kami," kata satu mesej dalam laman sesawang itu.

Ia bagaimanapun tidak memberi sebab khusus petisyen itu dikeluarkan.

Ketua Pembangkang itu kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment