Monday 16 March 2015

'Kelahiran semula' lagenda Puteri Gunung Ledang di pentas konsert

Penyanyi utama konsert Puteri Gunung Ledang 'Rebirth of the Legend' Puan Sri Tiara Jacquelina ketika dalam satu sesi latihan di Dewan Sri Putra Bukit Jalil Kuala Lumpur. Walaupun beliau sebelum ini dilaporkan mengalami ketumbuhan nodul pada pita suara, Tiara kini kelihatan lebih sihat dari biasa. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Mistikal legenda Puteri Gunung Ledang (PGL) bakal ‘dilahirkan semula’ untuk memukau peminat setianya menerusi pementasan Konsert Puteri Gunung Ledang ‘Rebirth of The Legend’ di Istana Budaya, Kuala Lumpur sempena meraikan ulang tahun ke-10 penerbitannya.

Konsert itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-10 usia filem PGL sejak kali pertama ditayangkan pada tahun 2004.

Dua tahun kemudian, nashkah filem itu diterjemah ke pentas teater menerusi pementasan teater muzikal.

Bakal beraksi pada 20-24 Mac depan, konsert ini menjanjikan satu kelainan dalam satu permentasan berskala konsert yang dianggap paling gah dipentaskan pada tahun ini.

Astro AWANI sempat ke Dewan Sri Putra, Bukit Jalil baru-baru ini untuk 'mengintai' persiapan karya produksi Enfiniti Vision Media ini.

Kesihatan Puteri Gusti

Sebelum ini penggerak utama konsert ini iaitu Puan Sri Tiara Jacquelina dinasihatkan doktor untuk berehat dan tidak melibatkan diri dalam mana-mana persembahan akibat mengalami ketumbuhan nodul pada pita suara.

Namun ketika ditemui semasa sesi latihan, Tiara kelihatan sememangnya lebih cergas dari biasa.

“Doktor kata sekarang saya boleh kembali beraksi. Saya rasa suara saya berada dalam keadaan yang lebih baik dari sebelum ini. Alhamdulillah,” ujar beliau kepada Astro AWANI.

Persiapan dari Dewan Sri Putra ke Istana Budaya 

Pengarah konsert, Adlin Aman Ramlie berkata sebagai langkah memperbaiki aspek teknikal konsert ini, proses simulasi persembahan diadakan setiap hari secara insentif di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil sebelum melangkah ke Istana Budaya.

“Ini pertama kali apabila sebuah filem dan teater muzikal digabungkan dalam bentuk konsert. Ada bahagian-bahagian yang kita akan pentaskan 100% seperti yang sebelum ini namun kebanyakan yang ada dalam konsert ini adalah serba baru,” kata Tiara.

Tiara yang membawakan watak Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah juga berkata, selaku pengarah Adlin telah membawa PGL kepada satu tahap yang sangat berlainan.

“Kali ini ada satu hadiah untuk peminat-peminat saya sendiri yang sejak dulu lagi bertanyakan kenapa lagu Asmaradana tiada dalam teater muzikal.

“Jadi kali ini, hanya untuk peminat lagu Asmaradana, versi baru dengan nafas baru lagu ini akan dipersembahkan di konsert nanti. Bagi saya, ia akan menjadi satu persembahan yang terbaik pernah saya lakukan sebelum ini, insyaAllah,” kata Tiara.

Latihan tarian untuk konsert Puteri Gunung Ledang 'Rebirth of The Legend' bakal berlangsung mulai 20 Mac depan di Istana Budaya.

Konsep reka bentuk ‘Segi Tiga’ 

“Asas kepada persembahan konsert ini bukanlah dalam bentuk penceritaan, ia lebih kepada kompilasi adegan dan lagu yang terdapat dalam muzikal dan juga filem sebelum ini dan kita cuba untuk persembahkan ia dalam masa dua jam.

“Untuk itu kita telah memilih konsep ‘Segi Tiga’ kerana kalau kita lihat secara falsafahnya ia seperti puteri terperangkap antara tiga lelaki iaitu abangnya, Adipati Handaya Ningrat, Sultan Mahmud dan Hang Tuah,” kata pengarah konsert Adlin Aman Ramlie.

Bagi membantu Adlin dalam merealisasikan konsep tersebut, pereka produksi terkenal, Raja Malek berkata ia merupakan satu cabaran besar buat dirinya.

“Konsep (reka bentuk) ‘Segi Tiga’ ini bermula dalam satu perbualan bersama Adlin, di mana ia melambangkan cinta tiga segi di Gunung Ledang. Dari situ saya mencabar diri saya, di mana setiap reka bentuk set adalah berdasarkan bentuk segi tiga. Sudah semestinya kita akan mengikut motif teater muzikal terdahulu dan ia lebih kepada corak abstrak.

Lady Gaga bertemu Puteri Gunung Ledang

“Bayangkan Lady Gaga bertemu Puteri Gunung Ledang,” kata Pat Ibrahim apabila ditanya mengenai tugas beliau sebagai pereka tari atau koreografer konsert PGL.

Pat berkata seni tarian gaya kotemporari seperti hip hop, dubstep, dan elektronika banyak digunakan untuk konsert ini memandangkan asas kepada lagu-lagu muzik ini lebih kepada Electronic Dance Music (EDM).

DVD Blu-ray Puteri Gunung Ledang Edisi Terhad 

Sempena sambutan 10 tahun filem Puteri Gunung Ledang, pihak Enfiniti Vision Media juga telah menerbitkan sebanyak 1000 pakej Blu-ray DVD edisi terhad buat peminatnya.

Bagi mereka yang ingin memilikinya, Tiara berkata ia hanya boleh didapati di Istana Budaya semasa konsert itu atau boleh menempah di laman web Enfiniti.

Bagi peminat yang mahu menonton konsert ini boleh mendapatkan tiket yang dijual pada harga RM79, RM129, RM179, RM219, RM259, RM339 dan RM439. Untuk maklumat lanjut, boleh melayari di www.Tickethotline.com.my atau www.Ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment