Menteri Luar Australia, Julie Bishop membuat tawaran tersebut di dalam surat yang diutuskan kepada rakan sejawatnya di Indonesia, Retno Marsudi - Foto Fail
SYDNEY: Australia telah membuat tawaran menanggung kos penjara seumur hidup bagi dua penyeludup dadah warganegaranya yang dikenakan hukuman mati di Indonesia jika mereka dilepaskan.
Tawaran berkenaan adalah sebagai rayuan terkini bagi pasangan tersebut bermula Khamis sehingga minggu depan.
Menteri Luarnya, Julie Bishop membuat tawaran berkenaan di dalam surat yang diutuskan kepada rakan sejawatnya di Indonesia, Retno Marsudi bagi meyakinkan Jakarta untuk tidak melaksanakan hukuman mati kepada dua tahanannya, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran.
Selain dua tahanan Australia itu, beberapa banduan termasuk Perancis, Brazil, Nigeria dan tiga banduan dari Filipina dan Ghana, sedang menunggu hukuman tembak mati pada bila-bila masa untuk jenayah berkaitan dadah.
Sebelum ini, Bishop mencadangkan pertukaran tahanan dengan Indonesia dalam perbualan telefonnya bersama Marsudi pada 3 Mac.
Namun, permohonan tersebut telah ditolak dan di dalam surat susulan, Australia berkata, Canberra bersedia untuk membayar kos penjara seumur hidup dua banduan terbabit.
"Seperti yang dibincangkan, kerajaan Australia bersedia untuk menampung kos penjara seumur hidup ke atas Chan dan Sukumaran," Bishop menulis di dalam suratnya.
"Sebahagian besar warga Australia menyokong kuat usaha kerajaan untuk mendapatkan pengampunan bagi Chan dan Sukumaran.
"Kami tidak mahu melihat pelaksanaan hukuman tersebut menjejaskan hubungan antara Australia dan Indonesia yang telah dipupuk selama bertahun-tahun," tambah Bishop.
Dalam surat balas yang turut dipaparkan oleh kerajaan Australia, Marsudi menolak permohonan penukaran banduan, namun tidak berkata apa-apa mengenai tawaran pembayaran balik yang diusul Australia.
- Sumber: AFP
No comments:
Post a Comment