Thursday 26 February 2015

Zaid, jangan 'double standard' hukuman penjara Anwar - Khairuddin

KHAIRUDDIN: Kemungkinan Zaid terlupa yang Anwar telah beberapa kali mengulangi kesilapan ini dan tidak insaf sehingga ke akhirnya.

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Hal-Ehwal Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim dinasihat untuk tidak bersikap pilih kasih terhadap hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akibat kesalahan liwat.

Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, walaupun setiap manusia mempunyai nilai perikemanusiaan, pada masa sama mereka harus bertindak secara tegas dalam melaksanakan undang-undang tanpa diskriminasi kepada sesiapa sahaja.

"Sebagai seorang mukmin kita amat bersimpati dengan nasib yang dihadapi Anwar namun pada masa sama kita harus bertindak secara tegas untuk melaksanakan hukum undang undang tanpa pilih kasih ataupun 'double standard.'

"Undang-undang dan hukuman tidak kenal darjat serta kedudukan seseorang itu. Salah tetap salah," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Khairuddin mengulas kenyataan Zaid di dalam Twitternya yang mahu rakyat negara ini memaafkan Anwar sebagai bukti mempunyai sifat kemanusiaan dalam kehidupan sehari-hari.

Zaid turut menggesa pemimpin dan sarjana Islam memberi sokongan terhadap langkah memohon pengampunan diraja buat Anwar.

Sebelum ini, keluarga Anwar telah mengemukakan petisyen bagi pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada saat akhir.

Dalam satu kenyataan, anak kedua Anwar, Nurul Nuha, 31, berkata, petisyen itu dibuat berdasarkan kepada Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Keluarga itu juga meletakkan keyakinan mereka kepada institusi Raja Berperlembagaan dalam perkara itu.

Dalam pada itu kata Khairuddin, masyarakat perlu faham isu Anwar bukanlah konspirasi selain menyifatkannya andaian pihak tidak bertanggungjawab semata-mata.

"Pihak penghakiman telah berkompromi terlalu lama dengan Anwar terlalu banyak serta terlalu lama.

"Kemungkinan Zaid terlupa. Anwar telah beberapa kali mengulangi kesilapan ini dan tidak insaf sehingga ke akhirnya," jelasnya.

Ujarnya lagi, adalah tidak adil untuk mengampunkan Anwar begitu saja tanpa memikirkan nasib pesalah liwat lain.

"Mereka juga mempunyai anak serta isteri dan dihukum penjara seperti Anwar. Adakah kita mengampuni mereka juga?

"Zaid terlupa Anwar adalah individu yang memporak-perandakan sistem politik tanahair kita.

"Anwar adalah politikus yang tidak percaya pada pembangunan masyarakat tetapi hanya pentingkan perjuangan untuk mendapatkan kuasa sebagai Perdana Menteri," jelasnya.

Dalam pada itu kata Khairuddin, landskap politik negara ini akhir-akhir ini juga disifatkan tenang tanpa Anwar.

"Kadang-kala kita kena mengambil pendekatan amat tegas bagi menginsafkan seseorang itu," katanya.

Zaid sebelum ini turut dilaporkan mengkritik tindakan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mendedahkan keterangan secara tertutup di mahkamah kepada umum.

Zaid berkata sebagai seorang peguam, Muhammad Shafee sepatutnya tahu apa yang disebut di dalam mahkamah haruslah ditinggalkan di dalam mahkamah, terutamanya di dalam kes Liwat II yang sudahpun selesai dan diputuskan.

- Source: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment