Wednesday 25 February 2015

Premis BritishIndia kekal di Suria KLCC hingga injunksi didengari

Premis BritishIndia kekal di Suria KLCC hingga injunksi didengari. -Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Kedudukan premis pakaian berjenama tempatan, BritishIndia masih kekal berada di Suria KLCC sehingga permohonan injunksi syarikat pakaian berjenama itu, BTC Clothier Sdn Bhd, didengari oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Permohonan injunksi itu dikemukakan oleh BTC Clothier bagi menghalang Suria KLCC daripada mengganggu perniagaan premis berkenaan.

Peguam N Sivaraj, yang mewakili BTC Clothier, ketika ditemui pemberita berkata semalam sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran permohonan injunksi syarikat itu di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.

Bagaimanapun, Sivaraj berkata pendengaran kes itu dilapangkan berikutan pihak Suria KLCC Sdn Bhd selaku defendan akan menghantar surat kepada BTC Clothier bagi mencadangkan terma berhubung permohonan injunksi tersebut.

"BritishIndia akan mengekalkan status quo," kata Sivaraj selepas menemui Hakim Nor Bee di dalam kamarnya semalam dengan dihadiri peguam T Kuhendran yang mewakili Suria KLCC.

Sivaraj berkata mahkamah kemudiannya menetapkan 5 Mac depan untuk pengurusan kes itu dan perbicaraan saman utama membabitkan kedua-dua pihak ditetapkan selama dua hari bermula 29 Jun depan.

Pada Julai 2014, BTC Clothier memfailkan saman terhadap Suria KLCC selepas mendakwa Suria KLCC telah secara salah menamatkan perjanjian penyewaan antara mereka berdasarkan surat bertarikh 4 Julai 2014.

Dalam pernyataan tuntutan itu, BTC Clothier, yang menyewa lot bagi premis BritishIndia di Tingkat 1, Suria KLCC hampir 16 tahun, mendakwa defendan juga mengugut untuk menutup premis BritishIndia pada pukul 10 malam, 7 Julai 2014 sekiranya plaintif enggan untuk menerima surat tawaran baru yang disediakan oleh defendan.

BTC Clothier mendakwa surat tawaran tersebut dilampirkan menerusi email pada 4 Julai 2014, dengan meminta supaya syarikat itu (BTC Clothier) menandatangani surat tawaran untuk satu unit premis di Tingkat 2, Suria KLCC, tanpa berbincang dengan syarikat berkenaan.

Sehubungan itu, BTC Clothier menuntut satu deklarasi bahawa penyewaan masih wujud antara syarikat itu dengan Suria KLCC untuk premis perniagaan BritishIndia dan memohon deklarasi bahawa tindakan defendan menamatkan perjanjian penyewaan adalah tidak sah.

BTC Clothier juga menuntut defendan atau pekerjanya berhenti daripada mengganggu perniagaan premis itu dan defendan juga dihalang daripada menutup atau melitupi pameran produk di premis berkenaan.

Syarikat itu antara lain memohon ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Syarikat BTC Clothier, yang menjual pakaian dan barangan kelengkapan rumah, mempunyai 13 kedai jualan di Malaysia dan lima kedai jualan di Singapura serta mempunyai rantaian runcit meliputi Asia Tenggara.

- Sumber: Bernama | Februari 25, 2015

No comments:

Post a Comment