Sunday 15 February 2015

PKR patut minta maaf daripada Abdul Khalid - Faekah


FAEKAH: PKR patut minta maaf daripada Abdul Khalid - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pimpinan PKR didesak untuk memohon maaf daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mengaitkan bekas menteri besar Selangor itu sebagai dalang demonstrasi yang mahu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi ketua umum PKR yang baharu.

Pegawai khas Abdul Khalid, Faekah Husin berkata, tindakan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang menuduh Khalid sebagai dalang dilihat kebudak-budakan bagi menutup kelemahan sendiri.

"Pemimpin PKR perlu berhenti menuding jari kepada orang lain bagi permasalahan dalaman parti yang mereka hadapi.

"Sebaliknya pimpinan parti itu harus bermuhasabah dengan melihat permasalahan dalaman ahli parti tersebut dengan jujur, bijak dan matang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Faekah merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan pegawai khas Abdul Khalid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak.

Sebelum ini, satu kumpulan yang mendakwa anggota PKR berhimpun di hadapan ibu pejabat parti itu dan memegang kain rentang yang mendesak pucuk pimpinan parti itu melantik Dr Mahathir sebagai ketua umum PKR menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara.

Kumpulan itu berkata, perlantikan Mahathir mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dalam pada itu kata Faekah, PKR kini turut dilihat mahu mengaitkan permasalahan dalaman parti itu dengan Abdul Khalid sendiri.

"Tidak cukup dengan fitnah dan penghinaan yang mereka lemparkan terhadap Khalid, kini permasalahan dalaman PKR pula mahu dilibatkan kepadanya.

"Selaku seorang negarawan, Khalid terkenal dengan sifat telus dan bertanggungjawab. Justeru menuduh beliau sebagai dalang yang bersembunyi penghinaan melampau yang dilakukan pimpinan PKR.

"Kami menuntut PKR memohon maaf di atas keceluparan pimpinan mereka yang jelas gagal menegakkan keadilan seperti yang mereka laungkan selama ini," katanya.

- Sumber: Media Statement via Astro Awani 

No comments:

Post a Comment