Wednesday 21 January 2015

Isi minyak hanya boleh RM30

LIMBANG - Bekalan petrol RON95 dan diesel di Limbang kini berada di tahap kritikal sehingga setiap kenderaan hanya dibenarkan mengisi bahan api itu setakat RM30 sahaja, berkuatkuasa hari ini.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Limbang, Dorcas Sidi berkata, bagaimanapun kenderaan kerajaan, kenderaan digunakan untuk menghantar bantuan dan kenderaan milik polis serta tentera dikecualikan daripada arahan itu.

"Di Limbang ada dua buah stesen minyak dan kini diarah untuk siap sedia stok minyak sebanyak 3,000 liter, kita harap dapat menyelesaikan masalah dalam minggu ini juga," katanya kepada Bernama hari ini.


Beliau berkata punca utama bekalan berkurangan ialah lori-lori tangki yang membawa petrol RON95 dan diesel tidak dapat melintasi sempadan di Kuala Lurah Brunei dan Batu Danau Limbang sejak semalam kerana ditenggalami air.

"Opsyen yang kita ada sekarang ialah memohon bantuan minyak RON95 dan diesel dari Kota Kinabalu Sabah dan ini memerlukan permit khas dikeluarkan oleh Brunei untuk membenarkan lori tersebut membawanya melintasi sempadan, pejabat Residen Limbang sedang menguruskan permohonan permit tersebut dan harap kalau cepat lusa bekalan pulih sepenuhnya," katanya.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment