Saturday 10 January 2015

Honda Amerika didenda AS$70j kerana gagal lapor kematian, kecederaan


PIHAK berkuasa sektor pengangkutan Amerika Syarikat (AS) mengenakan denda AS$70 juta (RM246 juta) terhadap Honda kerana gagal melaporkan 1,700 tuntutan akibat kematian dan kecederaan serta tuntutan waranti tertentu sejak 10 tahun lalu. - Foto fail AP



WASHINGTON: Pihak berkuasa sektor pengangkutan Amerika Syarikat (AS) mengenakan denda AS$70 juta (RM246 juta) terhadap Honda kerana gagal melaporkan 1,700 tuntutan akibat kematian dan kecederaan serta tuntutan waranti tertentu sejak 10 tahun lalu.

Pentadbiran Keselamatan Trafik dan Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) mengumumkan Honda akan membayar dua penalti sivil, masing-masing sebanyak AS$35 juta, lapor agensi berita Xinhua, China. 

Satu daripada penalti berkenaan ialah berikutan kegagalan Honda melaporkan 1,729 tuntutan kecederaan dan kematian antara 2003 dan 2014. Satu lagi disebabkan kegagalan syarikat itu melaporkan mengenai tuntutan waranti tertentu menerusi kempen kepuasan pelanggan sepanjang tempoh sama. 

Pentadbir NHTSA, Mark Rosekind, berkata pengumuman denda itu memberi isyarat jelas kepada keseluruhan industri bahawa pengeluar mempunyai tanggungjawab untuk membuat laporan yang lengkap dan tepat masa berhubung maklumat keselamatan yang kritikal. 


Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Honda Amerika Utara, Rick Schostek, berkata syarikat sudah menyelesaikan isu itu dan kini bergerak ke hadapan untuk mengatasi kekurangan dan kelemahan sistem sebelum ini. 

- Sumber: Bernama



No comments:

Post a Comment