Tuesday 20 January 2015

Hishammuddin nafi pernah hantar surat pada FBI

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

PUTRAJAYA - Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menafikan beliau pernah mengeluarkan surat (penjelasan) kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sepanjang perkhidmatannya dalam kementerian itu.

"Saya boleh jawab bagi pihak diri saya sendiri dan saya tak pernah hantar surat kepada FBI," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perutusan Khas Perdana Menteri bersabit "Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian mengulas kenyataan penyandang jawatan itu kini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu yang mengatakan menteri sebelumnya juga pernah mengeluarkan surat penjelasan kepada FBI.

Menurut Ahmad Zahid, beliau dan menteri sebelumnya mempunyai kuasa untuk menandatangani surat seumpama itu.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menjelaskan kepada kabinet bahawa surat yang dihantar pada 18 Disember lalu kepada FBI adalah penjelasan status Paul Phua Wei Seng yang sedang dibicarakan di mahkamah negara itu.

Surat berkenaan dihantar kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F Giuliano.

Menurutnya, surat itu bukan surat sokongan untuk tidak mendakwa Paul Seng Phua yang dituduh terlibat dengan aktiviti perjudian haram di Amerika Syarikat.

Seng Phua serta anaknya, Darren Wai Kit Phua kini dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.

Seng Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.

Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo 100k Super High Roller 2014 dan dia juga disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap 14K Triad, sebuah kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Berikutan penahanan Seng Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld telah memohon Ahmad Zahid agar mengeluarkan surat kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang anggota 14K Triad dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di Malaysia.

Surat Ahmad Zahid bertarikh 18 Disember tahun lalu kepada Giuliano adalah bagi menjelaskan tentang perkara tersebut.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment