Thursday 8 January 2015

'BAH MERAH 2014' dari klip-klip video jadi Filem Pendek


Foto banjir kreatif milik Nasrul ini turut viral di media sosial

Menghadapi bencana banjir menjadi satu pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh mereka yang terpaksa mengharunginya. Bagi seorang juruvideo seperti Nasrullah Napi, 29 tahun, pengalaman menghadapi banjir besar diabadikan sebagai satu subjek untuk portfolionya. Hanya dengan menggunakan sebuah iPhone serta kemahiran merakam dan menyunting video, maka terhasillah filem pendek bertajuk 'Bah Merah 2014'.




"Video ini asalnya hanya klip-klip yang saya hantar kepada kawan-kawan melalui whatsapp kerana mereka selalu mengambil berat dan ingin tahu keadaan di kampung. Jadi daripada klip-klip tersebut saya gabungkan menjadi satu video lengkap. Dan digabungkan dengan muzik terbitan Faliq Auri..." terang Nasrul.

Nasrul terpaksa bergegas pulang ke kampung halamannya di Kampung Jambu, Pengkalan Chepa selepas mendapat berita banjir besar melanda negeri Kelantan.

Menurut Nasrul, kampungnya pernah dilanda banjir pada tahun 2004 tetapi tidak seteruk bencana kali ini. Sampan dan rakit menjadi pengangkutan utama untuk penduduk kampung bergerak, manakala di ruang udara helikopter digunakan bagi menghantar bantuan kepada mangsa banjir akibat terputus laluan darat. Nazrul, ibu serta adiknya ditempatkan bersama kira-kira 2600 mangsa banjir lain di SK Seri Cempaka, Kota Bharu sementara menunggu air mulai surut.

Hari ini, keadaan di Kampung Jambu sudah semakin pulih & menurut Nazrul air telah mulai surut.."setelah beberapa hari dilanda banjir, air disini sudah semakin surut. Jalanraya sudah mula boleh digunakan cuma terdapat habuk-habuk dan debu-debu yang mencemar udara persekitaran. Sebab daripada banjir, terhasil lumpur, dari lumpur, ia mengering dan menjadi debu.."

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment