PUCHONG – Geng toreh dan seluk yang bergiat aktif melakukan jenayah menyeluk saku menjadikan beberapa pasar pagi sekitar kawasan ini dan Serdang sebagai sasarannya.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad, sindiket terbabit dipercayai dianggotai beberapa wanita warga Vietnam yang mensasarkan wanita sebagai mangsanya.
Menurutnya, suspek akan menoreh beg dibawa mangsa menggunakan pisau sebelum melarikan dompet serta telefon bimbit tanpa disedari sesiapa.
Perbuatan suspek katanya sungguh licik dan profesional menyebabkan mangsa hanya menyedari wang tunai dan barang berharga hilang ketika hendak membuat bayaran kepada peniaga di pasar.
“Bila nak bayar barulah mangsa menyedari dompet mereka sudah hilang dan terdapat lubang kesan torehan di beg dibawa,” katanya ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Pasar Pagi Puchong Jaya bersama Adun Kinrara, Ng Sze Han.
Sindiket terbabit katanya dipercayai bergerak antara lima hingga enam orang di pasar pagi yang sesak serta mempunyai ramai pengunjung bagi memudahkan kegiatan jenayah dilakukan.
Sebanyak tiga laporan diterima pihaknya bersabit kes itu bagi bulan Jun sahaja. Satu pasukan khas akan dibentuk bagi membanteras kegiatan yang menimbulkan kebimbangan kepada pengunjung pasar itu.
“Saya nasihatkan pengunjung terutama wanita supaya sandang beg mereka di bahagian depan dan lebih berhati-hati ketika berada di pasar. Sesiapa yang ada maklumat mengenai suspek diminta menyalurkannya kepada polis,”katanya.
Sementara itu Sinar Harian difahamkan, suspek mempunyai iras wajah seperti warga tempatan menyebabkan kehadiran mereka langsung tidak menimbulkan sebarang curiga kepada pengunjung.
Seorang daripada mereka akan mendekati mangsanya di tempat sesak dan terus memotong beg menggunakan pisau sebelum seorang lagi rakan akan menyeluk beg dibawa mangsa untuk mengambil dompet dan barang berharga termasuk telefon bimbit.
Difahamkan, ada mangsa pernah kehilangan wang tunai sebanyak RM3,000 apabila dompetnya dilarikan menggunakan kaedah sama.
Sindiket terbabit dikatakan akan ‘berpindah’ ke pasar pagi berlainan bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa dan pengunjung. -- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment