Restoran MatPeriuk memperkenalkan bufet Ramadan pada harga serendah RM10.
BAGI yang mencari hidangan berbuka ekonomi, namun masih menyelerakan, mungkin boleh cuba bufet Ramadan yang disediakan di MatPeriuk di Kampung Tersusun Tasek, Bercham, di sini.
Dengan caj hanya RM10 seorang, MatPeriuk yang diusahakan oleh adik beradik ini tampil dengan kelainan dari segi pilihan hidangan untuk menarik perhatian pengunjung.
Pengurus Operasi, Rafizatul Fairos Che Rose, 32, berkata, dengan harga serendah RM10, pengunjung boleh menikmati pembuka selera, pemanis mulut, aneka sup dan minuman dengan lebih 10 pilihan menu.
“Ini percubaan pertama kami memandangkan restoran ini baru sahaja dibuka. Alhamdulillah sambutan diterima sangat menggalakkan. Ramai yang bersetuju dengan pilihan hidangan yang ditampilkan,” katanya.
Dengan RM10, pengunjung boleh nikmati rojak buah, salad, kuih muih, bubur, kek, buah-buahan, sup daging, sup ayam dan sup cendawan.
Rafizatul berkata, terdapat juga hidangan ala carte yang menampilkan lebih 13 menu masakan Melayu dan Barat dengan harga serendah RM4.90.
Beliau berkata, ilham untuk menyediakan bufet dengan harga rendah itu muncul setelah menyedari lambakan pelbagai jenis bufet yang disediakan dengan harga agak tinggi.
“Bayar tinggi pun, tidak bermakna kita akan makan semua, jadi kami cuba beri pilihan, bayar kadar bersesuaian untuk dimakan,” katanya. -- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment