Wednesday 4 June 2014

Timbalan Menteri Kesihatan dipecat kerana MERS

Mers

RIYADH - ARAB SAUDI. Menteri Kesihatan Arab Saudi memecat seorang daripada timbalannya ketika angka korban sindrom pernafasan akut Timur Tengah (MERS) mencecah 190 orang, menurut satu kenyataan kementerian itu di laman mikro Twitter, hari ini, lapor AFP.

Namun tiada alasan diberikan berhubung pemecatan timbalan menteri, Ziad Memish itu.

Menteri Kesihatan yang sebelum ini, Abdullah al-Rabiah dipecat April lalu tanpa penjelasan rasmi dan digantikan dengan Menteri Buruh, Adel Fakieh, yang menjanjikan ketelusan dalam menyampaikan maklumat kepada media dan orang awam berhubung MERS.

MERS merupakan sejenis virus akut pernafasan misteri berasal dari Timur Tengah yang dilaporkan amat mudah merebak antara manusia sekali gus lebih bahaya berbanding virus SARS.
Virus MERS mula dilaporkan merebak di tanah Arab pada 24 Semptember 2012 dan ia masih belum dapat diubati.

Setakat ini, rekod menunjukkan MERS mula menjangkiti penduduk di Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perancis, Jerman, Itali dan Tunisia yang mana pesakit pernah menjejakkan kaki ke rantau Timur Tengah.

Penghidap disahkan mengalami simptom seperti demam dan batuk berlarutan selama beberapa hari dan jika tidak diberi rawatan khas, mereka akan meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.

Pakar tidak menolak MERS berkait rapat dengan virus kelawar walaupun sebahagian daripada mereka mengesyaki ia merebak menerusi haiwan sakit seperti unta atau kambing.

- AFP melalui Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment