Wednesday 4 June 2014

Dr Ika kena penjara

Hasdi yang menyamar sebagai Doktor Ika dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana memperdaya pemilik sebuah klinik di Batu Berendam membayar gaji sebanyak RM8,280 tahun lalu.
Hasdi yang menyamar sebagai Doktor Ika dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana memperdaya pemilik sebuah klinik di Batu Berendam membayar gaji sebanyak RM8,280 tahun lalu.


AYER KEROH - Seorang lelaki menyamar sebagai doktor wanita dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh mahkamah majistret di sini, semalam kerana memperdaya pemilik sebuah klinik sehingga menyerahkan wang hampir RM10,000 daam kejadian tahun lalu.

Hasdi Jamal Aripin, 27, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan dari mengaku tidak bersalah ke mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Ezwaney Husin pada prosiding kes itu, semalam.

Hasdi yang didapati menyerahkan Sijil Perakuan Amalan Tahunan palsu menggunakan nama samaran ‘Doktor Nurzulaikha Jamaluddin’ didakwa memperdaya Norman Mohd Norawai, 42, untuk menyerahkan wang gaji berjumlah RM8,280.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Klinik Doktor Norman Sdn Bhd di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, antara 15 Januari dan 11 April tahun lalu.

Ketika rayuan, tertuduh memohon supaya hukuman ke atasnya diringankan kerana dia yang bekerja sebagai guru tuisyen perlu menanggung ibunya yang baru sahaja keluar wad akibat darah tinggi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashaf Abd Hamid meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang memalsukan dokumen hingga memperdaya seorang doktor, selain mencemarkan kerjaya doktor sebagai pekerjaan profesional.

Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua pihak, Nurul Ezwaney menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Hasdi dan memerintahkan ia bermula semalam.

Pada 14 April 2013, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berwajah ayu dan bertubuh kecil menyamar sebagai doktor perubatan serta memperdaya lima klinik di daerah ini bagi membolehkan dia diterima bekerja secara sambilan.

Lelaki itu dikenali sebagai ‘Doktor Ika’ yang sering berbaju kurung dan bertudung itu turut memalsukan Sijil Perakuan Amalan Tahunan bagi meyakinkan majikan untuk mengupahnya dengan bayaran maksimum RM45 sejam.

Dia yang tidak pernah menamatkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan dan kejururawatan di institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor dan Selangor itu dikatakan memberi lebih perhatian kepada pesakit lelaki yang datang mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, penyamarannya terbongkar apabila sebuah klinik di Batu Berendam menerima aduan seorang isteri pesakit memberitahu suspek sering menghubungi suaminya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Soh Hock Seng berkata, aduan itu kemudian membawa kepada pendedahan penipuan suspek selepas pihak klinik membuat pemeriksaan terhadap latar belakang peribadinya, lalu membuat laporan polis pada 8 April 2013.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment