Tuesday 27 May 2014

Semua sekolah dilengkapi Internet 4G tahun depan

P Kamalanathan
P Kamalanathan


KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan menyasarkan semua sekolah akan dilengkapi kemudahan Internet 4G menjelang 2015 di bawah program 1BestariNet.

Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan berkata sehingga kini capaian kemudahan itu pada 86.3 peratus atau 8,746 buah sekolah. 

"Kita masih kekurangan kira-kira 14 peratus dan akan mencapainya menjelang 2015. Kita melihat kepada sekolah-sekolah yang mempunyai akses bawah 2G, terutama di kawasan pedalaman," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan The Digital Education Show 2014 di sini hari ini. 

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Amin Senin, Ketua Pegawai Operasi Multimedia Development Corporation (MDeC) Ng Wan Peng dan Pengarah Urusan Terrapin Pte Ltd Katrina Leung. 

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata program 1BestariNet yang diperkenalkan kementerian itu hujung tahun lepas ternyata memberi impak positif kepada sistem pendidikan negara apabila dijadikan model rujukan oleh beberapa negara maju.

"Bandar-bandar yang begitu moden, hebat dengan teknologi seperti Berlin (di Jerman) masih guna 3G, menunjukkan kita berada di depan malah menjadi negara rujuk kepada negara-negara yang memang hebat dalam bidang pendidikan seperti Finland.

"Finland datang ke sini untuk belajar dan atas dasar apa kita ambil keputusan ini (mewujudkan 1BestariNet). Bagi saya ia satu lonjakan paradigma dan cara berfikir di luar kotak," katanya.

1BestariNet ialah portal pembelajaran yang diperkenal oleh Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran selain merapatkan jurang digital antara pelajar bandar dan luar bandar. 

Menerusi sistem itu sekolah akan dihubungkan dengan pangkalan pembelajaran tunggal menggunakan Internet berkelajuan tinggi 4G.- Bernama

No comments:

Post a Comment